BMW M850i xDrive Terima Sentuhan Berbisa G-Power
Sementara menunggu ketibaan M8, pemilik BMW M850i xDrive yang ingin mendapatkan kuasa yang lebih tinggi boleh mendapatkan khidmat G-Power yang kini menawarkan pakej naik taraf bagi model itu.
Dengan perisian khas yang dibangunkan sendiri oleh syarikat talaan dari Bavaria itu, kuasa enjin 4.4-liter twin-turbo V8 itu meningkat secara signifikan iaitu dari 523 hp/750 Nm kepada 661 hp/890 Nm.
Dilengkapi dengan transmisi automatik lapan kelajuan, jentera ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.1 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 320 km/j. Untuk perbandingan, versi standard membuat pecutan itu dalam 3.7 saat dan mempunyai kelajuan maksimum yang dihadkan pada 250 km/j sahaja.
Selain perisian tersebut yang berharga 2,481 Euro (RM11,667), G-Power turut menawarkan sistem ekzos keluli tahan karat dengan penukar bermangkin pada harga 4,155 Euro (RM19,539). Sistem perlindungan dan diagnostik enjin tidak disentuh bagi menjaga keselamatan dan ketahanan komponen-komponennya.
Turut ditawarkan adalah rim Hurricane RR bersaiz 21 inci yang dipadankan dengan tayar bersaiz 255/30 dan 305/25. Ia dijual pada harga 7,521 Euro (RM35,369) seset.
No Comment