Honda Super Cub C125, CBR1000RR Fireblade SP dan CB1100RS Kini di Malaysia
Boon Siew Honda (BSH) membuka tirai tahun 2019 dengan melancarkan tiga model terbaru iaitu Super Cub C125, CBR1000RR Fireblade SP dan CB1000RS.
Super Cub C125 (RM13,999)
Seperti yang tertera pada namanya, C125 dikuasakan oleh enjin sejukan udara 125 cc SOHC empat lejang silinder tunggal yang menghasilkan 9.1 hp pada 7,500 rpm dan 9.98 Nm tork pada 5,000 rpm.
Bersama dengan reka bentuk klasik, model ini turut menampilkan ciri-ciri moden seperti lampu LED sepenuhnya dan sistem kunci pintar Honda. Ia juga mempunyai tangki berkapasiti 3.7 liter yang boleh diakses dengan membuka tempat duduk secara elektronik.
Super Cub C125 akan ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu Pearl Niltava Blue, Pearl Nebula Red dan Pearl Shining Black. Ia boleh didapati di pengedar sah Honda bermula bulan ini.
CBR1000RR Fireblade SP (RM114,999)
Selepas memperkenalkan CBR1000RR Fireblade di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS’18) baru-baru ini, BSH kini melancarkan pula varian SP yang menawarkan prestasi keseluruhan yang lebih baik.
Enjin 1,000 cc DOHC empat silinder pada model ini menghasilkan 189 hp pada 13,000 rpm dan 114 Nm pada 11,000 rpm. Dengan berat mencecah 195 kg, Fireblade SP merupakan motosikal Honda pertama yang dilengkapi dengan sistem suspensi kawalan elektronik keluaran Ohlins.
Selain itu, ia juga mempunyai tangki minyak titanium berkapasiti 16 liter, Quickshifter serta Cornering ABS. Dari segi luaran, Fireblade SP didatangkan dengan skema warna HRC Tricolor sebagai penghormatan kepada tradisi dan sejarah perlumbaan Honda.
CB1100RS (RM75,999)
CB1100RS menampilkan gaya seperti motosikal sport era 70-an, dengan tangki minyak yang dihasilkan tanpa kesan pateri, lampu bulat LED dan meter bulat berkembar.
‘Nadi’ model ini merupakan enjin sejukan udara 1,140 cc empat lejang DOHC yang menjana 88 hp pada 7,500 rpm dan 91 Nm pada 5,500 rpm. Bagi casisnya, CB1100RS menggunakan geometri lebih tajam, dipadankan dengan suspensi Showa Dual Bending Valve (SDBV) di bahagian depan dan penyerap hentak berkembar Showa di beakang.
Ia juga dilengkapi dengan rim aluminium 17 inci serta angkup brek empat omboh lengkap dengan ABS. Model ini ditawarkan dalam dua warna iaitu Darkness Black Metallic dan Matte Beta Silver Metallic.
No Comment