Mitsubishi Triton 2019 Dilancarkan Secara Rasmi
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan pelancaran rasmi Mitsubishi Triton baharu hari ini. Model yang ditunggu-tunggu itu membuat penampilan pertamanya di negara ini pada November tahun lalu di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS’18).
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Triton baharu ditawarkan dalam lima varian iaitu:
- Triton Adventure X (RM135,200)
- Triton AT Premium (RM118,600)
- Triton MT Premium (RM112,500)
- Triton AT (RM105,990)
- Triton MT (RM100,200)
Bergantung pada varian, model ini boleh didapati dalam empat pilihan warna iaitu White Diamond (semua varian), Jet Black Mica (Adventure X sahaja), Graphite Grey (AT Premium dan MT Premium) dan Sterling Silver (Triton AT dan Triton MT).
Triton mengenengahkan evolusi terbaru bahasa reka bentuk Dynamic Shield menerusi garisan bonet yang lebih tinggi dan rekaan lampu lebih garang. Selain itu, elemen lampu dan bampar menyumbang kepada imej yang lebih gagah.
Ruang dalaman pula mencetuskan rasa moden dengan padanan pad lembut dan sulaman dwi-jahitan pada perehat tangan dan parkir, selain memiliki ciri tambahan seperti slot pengecas telefon pintar di belakang dan sistem penyaman udara dengan corong individu.
Triton dikuasakan oleh enjin turbodiesel 2.4-liter MIVEC dengan teknologi Variable Valve Timing dan Variable Geometry Turbo yang menjana 181 PS dan 430 Nm. Kuasa disalurkan menerusi transmisi automatik enam kelajuan yang dipadankan dengan ciri Super Select 4WD II dengan ciri Off-Road yang merangkumi mod batu kelikir, lumpur/salji, pasir dan batu.
Dari segi keselamatan, model ini dilengkapi dengan sistem keselamatan aktif dan bantuan pemandu yang merangkumi Forward Collision Mitigation (FCM), Ultrasonic Misacceleration Mitigation System (UMS), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Blind Spot Warning with Lane Change Assist (BSW with LCA) dan Auto High Beam (AHB).
Selain itu, ia turut mempunyai ABS, EBD, Brake Assist, Traction Control, Brake Override System (BOS), Rest Reminder, Hill Start Assist, Hill Descent Control, Trailer Stability Asssit, ISOFIX dan tujuh beg udara.
No Comment