Nissan Lancar Siri Video Pendidikan Kenderaan Elektrik
Sejak lima tahun lalu, jualan kenderaan elektrik (EV) di peringkat global telah meningkat 23 kali ganda, dengan 37% daripada pengguna di Asia Tenggara mempertimbangkan EV untuk pembelian kenderaan seterusnya.
Bagi menyokong peningkatan ini, Nissan telah melancarkan siri video pendidikan pertama mereka yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang EV serta menghapuskan mitos-mitos mengenainya.
Siri video empat bahagian itu merangkumi topik pengecasan, jarak, pemanduan serta pemilikan. Dalam video pertama ini, penjelajah dari Australia, Tim Jarvis dan pengasas perniagaan makanan lestari Broccoli Revolution dari Bangkok, Naya Ehrlich-Adam membincangkan beberapa soalan mengenai pengecasan EV berdasarkan pengalaman peribadi mereka.
Selain itu, Nissan turut berkongsi data dan tips mengenai bagaimana pemilik kenderaan elektrik boleh mengecas kenderaan mereka menggunakan tiga pilihan pengecasan untuk Nissan LEAF sebagai contoh.
Menurut Nissan, 80% hingga 90% pemilik LEAF memilih untuk mengecas kereta mereka di rumah menggunakan kabel universal yang didatangkan dengan kereta tersebut.
Pemilik LEAF juga mempunyai pilihan untuk melengkapkan rumah, pejabat atau mana-mana lokasi yang sesuai dengan pengecas ‘wall box’ yang mampu memberikan cas penuh dalam tempoh 5 hingga 7 jam.
Sementara itu, stesen pengecasan pantas (quick charging) pula mengambil masa kira-kira 40 hingga 60 minit untuk mencapai tahap bateri 80%.
Video tersebut juga menjelaskan bahawa EV selamat untuk dicas dalam hujan. Ini merupakan salah satu situasi yang sering dihadapi oleh pemandu di serata Asia dan Oceania.
No Comment