Pandu Uji

Pandu Uji Ringkas: Toyota Vios Baharu

Cuba anda namakan sedan segmen B yang popular di Malaysia. Toyota Vios pasti menjadi antara nama pertama yang muncul di benak fikiran anda, bukan?

BHP-Infiniti-Thematic_Web-Banner_DSF_ENG_650x85_FA

Populariti sedan kompak ini memang tidak dapat disangkal lagi, terutamanya di negara-negara Asia Pasifik seperti Filipina, Thailand serta negara kita sendiri. Sebab itulah penulis agak teruja apabila dijemput untuk memandu uji Vios versi facelift ke Desaru baru-baru ini.

IMG_3534

Dipertontonkan buat pertama kali di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS’18) pada November tahun lalu, Vios baharu ini ditawarkan dalam tiga pilihan iaitu J sebagai varian asas, E sebagai varian pertengahan dan G sebagai varian teratas. Hanya varian G digunakan bagi sesi pandu uji media kali ini.

Luaran

IMG_3420

Walaupun mempunyai bentuk yang sama seperti sebelum ini, Vios baharu menampilkan penggayaan yang lebih ekspresif. Pada bahagian depan, jeriji dan lampu langsing menghasilkan ‘muka’ yang lebih segar, namun bahagian bawah bampar kelihatan agak bercelaru dengan bahagian berwarna hitam yang turut menenggelamkan lampu nyalaan siang LED.

IMG_3424

Bagi penulis, Vios paling cantik jika dilihat dari sudut belakang, di mana bentuk lampu yang langsing dan panjang membuatkan bahagian itu tampil lebih lebar berbanding sebelum ini. Sentuhan sporty yang tidak keterlaluan (‘subtle’ bak kata mat saleh) dapat disampaikan menerusi penggunaan Aerokit yang merangkumi skirt depan, belakang dan sisi, serta spoiler ekor itik.

Dalaman

IMG_3498

Apa yang baharu pada bahagian dalaman Vios adalah rekaan konsol tengah yang nampak lebih ringkas dan moden dengan kemasan krom di sekelilingnya. Varian G mendapat meter Optitron dengan paparan TFT bersaiz 4.2 inci yang berfungsi untuk menyampaikan pelbagai maklumat termasuk penjimatan dalam Ringgit Malaysia. Penulis tidak pasti bagaimana pengiraan dilakukan tetapi ia satu ciri yang menarik untuk ada.

IMG_3501

Tempat duduk terbukti cukup selesa untuk perjalanan jauh, tidak kira di depan atau belakang. Bercakap tentang keselesaan, Toyota menggunakan lebih banyak penebat bunyi pada ruang enjin serta sekeliling kabin bagi menjadikan ia lebih senyap dan ini dapat dirasakan dengan jelas ketika memandu laju di lebuh raya. Hanya bunyi angin yang kedengaran (normal jika kenderaan sedang memecut) manakala bunyi tayar dan ‘drivetrain’ dihalang dengan baik.

Kelengkapan

IMG_3516

Dari segi kelengkapan, varian G (dan juga E) didatangkan dengan sistem infotainment DVD-AVX dengan skrin 6.8 inci yang menyokong pelbagai fungsi seperti USB, Spotify, Waze dan sebagainya. Sistem ini disokong dengan dua port USB yang terletak pada bahagian belakang kotak konsol tengah.

IMG_3473

Kedua-dua varian tersebut juga dilengkapi dengan Panoramic View Monitor (PVM) yang memberikan pandangan mata burung (bird’s eye view) bagi memudahkan pemandu memarkir di kawasan yang sempit. Ciri ini menggunakan empat kamera kecil yang dipasang di sekeliling badan kereta. Kualiti gambar yang dipaparkan tidaklah secantik yang diharapkan tetapi ia cukup jelas.

IMG_3523

Selain itu, terdapat juga sistem pendingin hawa automatik dengan penampilan lebih premium serta cermin pandang belakang electrochromic yang dapat mengurangkan silau dari lampu kenderaan di belakang. Semua varian Vios juga mendapat butang kemasukan pintar pada pemegang pintu yang membolehkan pemandu mengunci atau membuka pintu tanpa menggunakan kunci.

Prestasi

20190117_Vios0184

Seperti sebelum ini, Vios baharu dikuasakan oleh enjin 2NR-FE 1.5-liter DOHC dengan Dual VVT-i yang menghasilkan 105 hp pada 6,000 rpm dan 140 Nm pada 4,200 rpm. Selain menjana kuasa yang cukup untuk memacu sedan ini, tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang enjin ini.

IMG_3512

Bagaimanapun, CVT kali ini lebih baik berbanding yang terdapat pada model sebelumnya. Tidak pasti apakah peningkatan atau talaan yang telah dilakukan, namun ia jelas lebih responsif dan cepat bertindak balas terhadap input pada pendikit, selain tidak menderu-deru ketika kereta dipandu laju. Penulis tidak ketinggalan untuk mengeksplotasi tujuh nisbah gear yang ada menerusi paddle shifter untuk pemanduan lebih sporty.

IMG_3522

Selain mod Normal, Vios mempunyai mod Eco dan Sport yang boleh meningkatkan pengalaman pemanduan menjadi sesuatu yang lebih menjimatkan dan menyeronokkan. Namun sayangnya, kedudukan butang yang kurang strategik (di sebelah kanan papan pemuka pemandu) sedikit sebanyak mencacatkan kemudahan ini. Lebih jika ia diletakkan di sebelah tombol gear sahaja.

IMG_3484

Aspek pengendalian boleh dikatakan cukup baik untuk kenderaan segmen ini. Menurut Toyota, karakteristik suspensi depan dan belakang telah disemak semula untuk perjalanan yang lebih selesa. Penggunaan cakera brek depan dan belakang yang lebih besar (varian G sahaja) turut memberikan Vios kelebihan dari segi prestasi dan keselamatan.

Keselamatan

IMG_3500

Dari segi keselamatan, semua varian Vios kini didatangkan dengan tujuh beg udara, selain tali pinggang keledar tiga poin dan cagak Isofix pada tempat duduk belakang. Varian E dan G mempunyai kelebihan dalam bentuk ciri Blind Spot Monitor (BSM) dan Rear Cross-Traffic
Alert (RCTA).

IMG_3524

Bukan itu sahaja, kedua-dua varian tersebut juga mendapat perakam video digital (DVR) secara standard. Selain merakam perjalanan, ciri ini juga amat berguna ketika berlaku kemalangan kerana ia dapat menyediakan bukti visual yang tidak boleh dipadam setelah berlaku pelanggaran.

Kesimpulan

IMG_3540

Secara ringkas, penambahbaikan dari segi mekanikal dan ciri kelengkapan menjadikan Vios baharu ini lebih baik berbanding model sebelumya. Dengan harga bermula dari RM77,200 hingga RM88,300, ia juga menjanjikan nilai hebat bagi mereka yang mahukan sebuah kereta dengan tahap kebolehpercayaan yang tinggi.

Spesifikasi Toyota Vios 1.5G
Enjin: DOHC Dual VVT-i
Kapasiti: 1,496 cc
Kuasa: 105 hp @ 6,000 rpm
Tork: 140 Nm @ 4,200 rpm
Transmisi: CVT
0-100 km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM88,300

20190117_Vios1324

20190117_Vios1570

20190117_Vios2062

20190117_Vios2324

Previous post

Audi RS4+ Talaan ABT Lebih Cantik, Lebih Berkuasa

Next post

McLaren 600LT Spider - Model 'Long Tail' ke-5

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *