Toyota C-HR Kini Dengan Warna Baharu, TRD Aerokit Turut Ditawarkan
Memasuki tahun keduanya dalam pasaran tempatan, Toyota C-HR kini didatangkan dengan beberapa kemaskini dan penambahbaikan dari segi penampilan dan juga kelengkapan.
Model 2019 ini boleh dibezakan menerusi rim aloi dwi tona bersaiz 17 inci baharu, jalur kemasan pada bampar depan dan belakang serta acuan badan pada bahagian sisi.
Mereka yang mahukan penampilan lebih sporty boleh mendapatkan TRD Aerokit yang ditawarkan secara pilihan. Ia merangkumi sambungan metalik untuk bampar depan dan belakang, serta overfender pada gerbang roda bagi menghasilkan imej yang lebih berotot.
TRD Aerokit dihasilkan mengikut piawaian tinggi Toyota, sama seperti kenderaan lain yang diimport secara CBU dari pusat pengeluaran serantau C-HR di Thailand. Ia didatangkan dengan jaminan berasingan dan dipasang secara profesional di fasiliti UMW Toyota Motor sendiri.
C-HR boleh didapati dalam enam warna iaitu Metal Stream Metallic, White Pearl, Blue Metallic, Attitude Black, Red Mica dan warna baharu Radiant Green Metallic. Untuk penampilan yang lebih menarik, warna Blue Metallic, Radiant Green Metallic dan Red Mica didatangkan dengan bumbung berwarna hitam.
Selain itu, C-HR 2019 turut mendapat skrin sentuh berukuran 6.75 inci dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Ini bermakna kebanyakan aplikasi telefon pintar kini boleh diakses daripada skrin tersebut yang mempunyai antara muka yang lebih ringkas. Ciri pengenalan suara turut disertakan bagi memudahkan lagi pemanduan.
Harga tidak berubah iaitu dari RM150,000 untuk pendaftaran persendirian. Tempahan telah dibuka sejak 16 Januari lalu, dengan penyerahan dijangka bermula Februari ini.
No Comment