Veloster N TCR Jadi Taruhan Hyundai
Hyundai tidak ketinggalan menyertai acara Detroit Auto Show 2019 untuk memperkenalkan jentera lumba terbaru mereka iaitu Veloster N TCR. Ia akan bersaing dengan Honda Civic Type R TCR, Volkswagen GTI TCR, dan Audi RS3 LMS TCR dalam perlumbaan International Motor Sports Association (IMSA) Michelin Pilot Challenge tahun ini.
Hyundai akan menyediakan dua buah Veloster N TCR – satu untuk pasangan veteran Michael Lewis dan Mark Wilkins, manakala satu lagi akan dipandu oleh Mason Filippi dan Harry Gottsacker, masing-masing berusia 20 dan 18 tahun.
Menurut Hyundai, 85% daripada komponen Veloster N TCR datang daripada i30 N TCR yang digunakan musim lalu, termasuk enjin 2.0-liter empat silinder turbo yang menghasilkan 350 hp dan 450 Nm itu.
Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear jujukan enam kelajuan yang akan menyalurkan kuasa ke gandar hadapan, di mana differential mekanikal ditugaskan untuk membahagikan kuasa antara kedua-dua tayar itu. Sistem brek pula terdiri dari cakera 380 mm dengan angkup enam omboh keluaran Brembo di hadapan, dan cakera 278 mm dengan angkup dua omboh di belakang.
Seperti i30 N TCR, jentera terbaru ini turut dipasang di ibu pejabat Hyundai Motorsport di Alzenau, Jerman. Ia dijual pada harga €135,000 (RM632,438), dengan penghantaran bermula Mac ini.
No Comment