VUHL 05RR – Senjata Litar Setanding Supercar
Nama pengeluar kereta dari Mexico iaitu VUHL (disebut ‘vool’) mula naik pada tahun 2013 apabila ia melancarkan model pertamanya yang diberi nama 05. Tiga tahun kemudian, versi yang lebih berkuasa iaitu 05RR diperkenalkan di acara Goodwood Festival of Speed namun baru sekarang model ini memasuki pasaran.
Apa yang istimewa mengenai 05RR adalah ia 65 kg lebih ringan berbanding 05, menjadikan dengan berat keseluruhan terkini 660 kg. Bukan itu sahaja, kuasa dari enjin turbo 2.3-liter EcoBoost itu turut meningkat sebanyak 115 hp dan 100 Nm.
Dengan kuasa keseluruhan mencecah 400 hp dan 520 Nm, jentera ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 2.7 saat. Untuk perbandingan, Chiron mampu mencapai kelajuan sama dalam 2.4 saat, P1 dalam 2.6 saat manakala F12 tdf dalam 2.8 saat.
Selain itu, kedudukan enjin dan transmisi yang rendah berjaya merendahkan pusat graviti kereta ini sebanyak 50 mm. Dengan kotak gear berjujukan, Limited Slip Differential serta sistem suspensi dan stereng yang ditala khas, 05RR dilihat sebagai antara senjata litar yang paling berkesan.
Untuk tahap pengendalian yang lebih tinggi, pelanggan juga boleh mendapatkan sistem suspensi litar lumba serta tayar slick. Digabungkan dengan tetapan aerodinamik baharu, ia boleh mencapai pecutan lateral sehingga 1.8G.
Harga 05RR bermula dari £119,500 (RM640,167) bagi model asas. Untuk model spesifikasi penuh dengan topi keledar custom dan sistem ekzos titanium, pelanggan perlu membayar £202,020 (RM1.08 juta).
No Comment