BMW M140i Finale Edition Hot Hatch Terakhir Dengan Enjin 6 Silinder, RWD
BMW 1 Series boleh dianggap sebagai sesuatu yang istimewa kerana ia merupakan hatchback dengan pacuan roda belakang. Malangnya, laporan mengatakan bahawa model generasi seterusnya akan beralih ke platform FAAR yang menyokong pacuan roda hadapan dan semua roda.
Namun sebelum model generasi kedua ini dihentikan pengeluarannya, BMW Australia telah membuka tempahan untuk M140i Finale Edition yang dikatakan sebagai model hot hatch enam silinder, pacuan roda belakang terakhir dari syarikat itu.
Ditawarkan untuk pasaran Australia sahaja, model ini menampilkan pelbagai komponen berwarna hitam seperti keliling jeriji, muncung ekzos dan rim aloi 18 inci. Malah, lampu depan dan belakang turut digelapkan untuk penampilan lebih sporty.
Selain itu, pelanggan juga mendapat kelengkapan tambahan seperti pengecas wayerles, lampu LED, bumbung suria, sistem kemasukan tanpa kunci dan sistem audio Harman Kardon.
M140i Finale Edition turut dilengkapi dengan sistem brek M dan suspensi adapatif. Enjin turbo 3.0-liter enam silinder pada model ini dibiarkan standard, dengan kuasa mencecah 335 hp dan 500 Nm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan sebagai satu-satunya pilihan, hatchback ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 4.6 saat.
No Comment