Ducati Buka Pusat Latihan Canggih di Rayong, Thailand
Ducati telah membuka pusat latihan baharu yang terletak di kilang jenama itu di Rayong, Thailand. Kemudahan canggih ini dibina dengan tujuan meningkatkan kecekapan kakitangan Ducati di rantau Asia Pasifik. Latihan jenama, pensijilan Ducati Riding Experience dan latihan teknikal akan dijalankan di pusat latihan tersebut.
Tahun lalu Ducati APAC telah memulakan Genius Program yang melibatkan kursus dan latihan yang mengesahkan pengetahuan dan kemahiran juruteknik Ducati. Selain itu, program itu juga melakar haluan kerjaya peserta berdasarkan tahap kepakaran berbeza dan sijil yang telah diperolehi.
Selain latihan teknikal dengan model sedia ada dan terdahulu, pusat latihan Ducati Asia Pasifik ini juga akan menjadi hos kepada latihan jenama bagi meningkatkan pengalaman pelanggan yang berkaitan dengan produk Ducati dan Ducati World. Ducati World adalah mengenai warisan perlumbaan, komuniti dalam talian dan luar talian, gaya hidup dan penghayatan jenama itu.
Dengan keistimewaan Board of Investment, pusat latihan Ducati Asia Pasifik berkeluasan lebih dari 200 meter persegi dan terima kasih kepada susun modular, ia boleh menganjurkan beberapa sesi latihan secara serentak.
Dilengkapi dengan teknologi ‘augmented reality’, enjin latihan dan bengkel latihan, pusat latihan ini akan menampung lebih 230 juruteknik dan 100 kakitangan pengedar pada tahun ini.
Operasi telah pun bermula, dengan kakitangan Ducati dari Thailand, India, China dan Korea dijangka menggunakan kemudahan ini dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
No Comment