Ford Focus ST Hadir Dengan 276 HP
Segmen hot hatch kini menjadi semakin sengit dengan kehadiran Ford Focus ST baharu. Menggunakan Focus generasi keempat sebagai asas, model terbaru ini boleh didapati dengan enjin petrol atau diesel yang menawarkan sehingga 12 peratus lebih kuasa dan 17 peratus lebih tork berbanding versi terdahulu.
Focus ST versi petrol dikuasakan oleh enjin EcoBoost 2.3-liter empat silinder yang menjana 276 hp pada 5,500 rpm dan 420 Nm dari 3,000 hingga 4,000 rpm. Selain teknologi anti-lag, enjin aluminium ini turut dilengkapi dengan pengecas turbo twin-scroll dan wastegate elektronik.
Bagi mereka yang lebih gemarkan enjin diesel, model ini turut ditawarkan dengan enjin EcoBlue 2.0-liter empat silinder dengan kuasa sebanyak 187 hp pada 3,500 rpm dan 400 Nm dari 2,000 hingga 3,000 rpm. Dipertingkatkan dengan Variable Geometry Turbocharger (VGT) dan omboh keluli yang lebih tahan panas, ia adalah enjin diesel paling berkuasa pernah ditawarkan untuk model ini.
Kedua-dua varian didatangkan standard dengan transmisi manual enam kelajuan yang mempunyai penukaran gear yang lebih pendek sebanyak 7 peratus. Ia juga boleh didapati dengan transmisi automatik tujuh kelajuan yang dioptimumkan untuk prestasi. Menurut Ford, kotak gear tersebut mempunyai keupayaan untuk membezakan antara pemanduan di jalan raya atau di litar lumba.
Bagi meningkatkan lagi pengalaman pemanduan, varian EcoBoost mendapat eLSD yang dibangunkan oleh Borg Warner. Menggunakan input dari enjin dan transmisi, sistem ini boleh melaraskan semula pembahagian tork bagi menghasilkan pengendalian lebih baik.
Sementara itu, varian EcoBlue pula didatangkan dengan Torque Vectoring Control yang ditugaskan untuk mengurangkan understeer dengan mengenakan brek pada tayar sebelah dalam ketika mengambil selekoh. Turut disertakan buat pertama kali adalah mod pemanduan Slippery/Wet, Normal dan Sport.
Pelanggan yang memilih pakej Performance akan mendapat kelengkapan tambahan seperti mod Track dan Continuously Controlled Damping (CCD) yang memantau sistem suspensi, stereng dan brek setiap dua milisaat untuk disesuaikan dengan tindak balas redaman. Teknologi ‘rev matching’ turut disertakan bersama pakej itu, namun hanya untuk varian EcoBoost manual.
Ford Focus ST akan dijual di Eropah bermula musim panas ini, dengan dua jenis badan untuk dipilih iaitu hatchback lima pintu dan wagon.
No Comment