Hyundai Tucson N Akan Tiba Dengan 340 HP?
Penyertaan Hyundai dalam segmen berprestasi tinggi tampak positif setakat ini dengan i30 N dan Veloster N mendapat pujian dari pelbagai penerbitan dari Eropah dan Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, syarikat dari Korea itu dikhabarkan akan mengembangkan barisan model berprestasi mereka dengan sebuah SUV iaitu Tucson N. Menurut sumber dalaman Hyundai yang bercakap kepada Auto Express, model itu akan tiba dalam masa dua tahun lagi untuk mencabar Cupra Ateca, Audi SQ5 dan Volkswagen T-Roc R.
Walaupun perincian teknikal masih belum diketahui, Tucson N dilaporkan akan mempunyai 340 hp dan mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa bawah enam saat bagi memastikan ia mampu bersaing dalam segmennya. Untuk perbandingan, i30 N dengan Performance Pack mempunyai 275 hp yang dihasilkan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder.
Apa yang menarik, Tucson N akan mengetuai barisan N sehinggalah ketibaan sebuah model ‘halo’. Tidak dapat dipastikan platform apakah yang digunakan untuk membangunkan model ‘halo’ ini, namun ia bukanlah satu rahsia bahawa Hyundai kini sedang menguji sebuah kenderaan dengan pacuan semua roda dan kotak gear i30 N.
No Comment