Kia Picanto GT-Line Dilancarkan – RM57,888
Naza Kia Malaysia secara rasminya telah melancarkan Kia Picanto GT-Line bagi pasaran tempatan. Ditawarkan bersama varian EX, model ini pertama kali dipertontonkan kepada orang ramai di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS’18) tahun lalu.
Picanto GT-Line tampil lebih menonjol terima kasih kepada kit badan dengan perincian berwarna merah pada bahagian jeriji, bampar hadapan dan skirt sisi. Sisi sporty model ini turut diserlahkan menerusi muncung ekzos berkembar dan rim aloi berukuran 16 inci.
Selain itu, model ini turut didatangkan dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus, antena siri jerung serta sistem kemasukan tanpa kunci (keyless entry). Ia ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu Titanium Silver, Clear White dan Aurora Black Pearl.
Di dalam, Picanto GT dilengkapi dengan skrin infotainment berukuran 7 inci yang menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, kamera undur, stereng flat-bottom, pengecas telefon wayarles dan port USB. Ciri Full Auto Temperature Control (FATC) mengekalkan suhu kabin secara automatik untuk pemanduan lebih selesa.
Aspek keselamatan turut diberi penambahbaikan menerusi ciri-ciri baharu iaitu Autonomous Emergency Braking (AEB) dan Hill-start Assist Control (HAC). Model ini mengekalkan binaan badan Advanced High Strength Steel (AHSS), enam beg udara, serta Vehicle Stability Management (VSM) dengan Electronic Stability Control (ESC).
Seperti varian EX, Picanto GT-Line dikuasakan oleh enjin 1.2-liter empat silinder dengan 84 PS dan 122 Nm, dan transmisi automatik empat kelajuan.
Dijual pada harga RM57,000 (harga atas jalan tanpa insurans), model ini didatangkan dengan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan.
No Comment