Land Rover Buat U-Turn, Batal Pengeluaran SV Coupe
Acara Geneva Motor Show 2018 menyaksikan kemunculan Range Rover SV Coupe yang akan dijual dalam jumlah yang terhad iaitu 999 unit. Bagaimanapun, laporan Autocar mengatakan bahawa Jaguar Land Rover telah membatalkan rancangannya untuk menghasilkan model flagship itu.
Keputusan itu diambil bagi membolehkan Land Rover memfokuskan usahanya ke arah pengeluaran model biasa seperti Discovery Sport dan Defender baharu yang bakal membuat kemunculan pada tahun ini.
Syarikat itu berkata pihaknya telah mengambil keputusan yang sukar untuk memaklumkan kepada pelanggan mereka bahawa Range Rover SV Coupé tidak akan dikeluarkan. Sebaliknya, ia sedang memfokuskan sumber dan pelaburannya kepada produk bertaraf dunia generasi seterusnya.
Kemungkinan besar, langkah ini adalah sebahagian daripada rancangan Jaguar Land Rover untuk menjimatkan 2.5 bilion pound dalam tempoh setahun setengah akan datang, yang diumumkan awal bulan ini bersama dengan pemecatan 4,500 pekerja.
SV Coupe sepatutnya ditawarkan dengan enjin supercharged 5.0-liter V8 yang menghasilkan 565 hp dan 700 Nm. Dengan kotak gear automatik lapan kelajuan, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.3 saat dengan kelajuan maksimum 265 km/j.
No Comment