Mazda MX-5 Sambut Ulang Tahun ke-30
Tahun 2019 menandakan ulang tahun ke-30 buat Mazda MX-5 (juga dikenali sebagai Miata) dan bagi meraikannya, pengeluar kenderaan dari Jepun itu telah memperkenalkan MX-5 edisi istimewa di acara Chicago Auto Show 2019.
Seperti kebanyakan model edisi ulang tahun yang lain, MX-5 ini ditawarkan dalam bilangan yang terhad iaitu 3,000 unit untuk pasaran global. 500 daripadanya diperuntukkan untuk pasaran Amerika Syarikat dan percaya atau tidak, kesemuanya telah habis terjual dalam masa empat jam sahaja.
Boleh didapati dalam versi standard (soft top) atau versi RF (hard top), model ini tampil berbeza dengan warna Racing Orange yang dipadankan dengan rim aluminium Rays ZE40 RS30 berwarna hitam. Turut disertakan adalah lencana ’30th Anniversary’ lengkap dengan nombor siri pengeluaran.
Bahagian dalaman tidak kurang istimewanya, dengan tempat duduk sport keluaran Recaro dan perincian berwarna jingga pada tempat duduk, tuil gear dan papan pemuka.
Apa yang menarik, jentera ini turut menerima peningkatan mekanikal dalam bentuk peredam Bilstein (untuk varian manual sahaja) serta angkup brek Brembo untuk tayar hadapan. Tiada penambahbaikan bagi enjin, bermakna model ini masih mempunyai 181 hp yang dibekalkan oleh enjin 2.0-liter empat silinder.
MX-5 edisi ulang tahun ke-30 ini dijual pada harga bermula dari $35,915 (RM146,263) bagi versi soft top dan $38,515 (RM156,825) bagi versi RF.
No Comment