Proton Iriz Facelift Dapat Fungsi Arahan Suara
Proton secara rasminya telah mendedahkan imej pertama Iriz baharu yang akan dilancarkan pada tahun ini. Hatchback segmen B itu menjadi model pertama Proton yang diberikan facelift sejak kerjasama dengan Geely diumumkan.
Melihat kepada imej yang diberikan, Iriz kini menampilkan lampu baharu berserta kemasan Ethereal Bow pada bahagian gril dan corak Infinite Weave pada bahagian gril radiator. Bampar depan turut diberi sentuhan segar dan menampilkan lampu nyalaan siang LED.
Di belakang, model ini menampilkan identiti korporat baharu di mana logo harimau pada bahagian tailgate telah digantikan dengan lencana ‘PROTON’, menjadikan ia tampak lebih lebar. Kemasan menegak dan kemasan bampar baharu pula memberikan Iriz imej yang lebih sporty.
Penambahbaikan lain yang terdapat pada model ini termasuklah lencana ‘Iriz’ dalam bentuk tulisan baharu, antena sirip jerung dan rekaan rim aloi terkini.
Iriz facelift akan didatangkan dengan sistem infotainment baharu dengan paparan sentuh yang dibangunkan oleh Proton dan ECARX. Ia mempunyai pelbagai ciri ketersambungan serta fungsi arahan suara. Panel instrumen dan tombol gear juga berbeza dari sebelum ini.
Apa pendapat anda tentang model ini? Mampukah ia memberi saingan kepada pendahulu segmennya?
No Comment