Proton Jual 7,007 Unit Kenderaan Pada Januari 2019
Proton memulakan tahun 2019 dengan pencapaian memberangsangkan di mana jumlah pendaftaran meningkat kepada 7,007 unit pada Januari 2019. Pegangan pasaran dianggarkan pada 14.5%, meskipun angka sebenar hanya akan disahkan selepas data jualan industri dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Setelah mencatat rekod pendaftaran SUV yang paling banyak di pasaran Malaysia pada bulan ianya dilancarkan, X70 meneruskan rekod tersebut sehingga ke tahun baru dengan 2,777 unit didaftarkan pada Januari 2019. Jumlah tersebut bermakna X70 telah mencatat rekod baharu sebagai SUV segmen C paling banyak didaftarkan dalam masa sebulan.
Berbanding dengan jualan bulan sebelumnya, jualan telah meningkat sebanyak 33.6% sementara perbandingan dari tahun ke tahun, angka tersebut mewakili pertumbuhan sebanyak 46.5% daripada Januari 2018, menjadikan Proton mendahului pasaran dalam kadar pertumbuhan bagi jenama automotif antara ketiga yang teratas.
Satu lagi pencapaian adalah pada jumlah cawangan 3S/4S. Sehingga akhir bulan ini, terdapat 74 cawangan Proton 3S/4S dan pengedar beroperasi dan akan lebih banyak cawangan dibuka sepanjang tahun ini. Cawangan-cawangan akan bergandingan membantu Proton dalam mencapai Indeks Perkhidmatan Jualan (SSI) dan Indeks Perkhidmatan Pelanggan (CSI) mencapai sasarannya.
Bagi bulan Februari, Proton sedang berusaha mengekalkan momentum jualannya dengan mengadakan promosi Ang Pow. Pembeli kereta-kereta Proton layak untuk mendapatkan penjimatan sehingga RM4,000 bergantung pada model yang dipilih.
No Comment