Subaru Legacy Kembali Dengan Enjin Turbo
Seperti yang dijanjikan, Subaru Legacy generasi ketujuh akhirnya diperkenalkan secara rasmi di Chicago Auto Show 2019. Selain dibina di atas platform Subaru global (SGP) baharu, model ini juga menandakan kembalinya pilihan enjin turbo sejak 2012.
Dari segi reka bentuk, luaran Legacy baharu tidak banyak berbeza dengan model sebelum ini kecuali beberapa bahagian yang telah diperkemaskan seperti lampu depan dan belakang, jeriji tanpa bingkai serta cermin sisi.
Untuk melihat perbezaan yang lebih ketara, anda perlu masuk ke bahagian kabin di mana sebuah skrin sentuh sistem infotainmen berukuran 11.6 inci mendominasi papan pemuka dan konsol tengah.
Subaru berkata bahawa paparannya boleh dibahagikan kepada dua (audio di atas, navigasi di bawah, sebagai contoh) untuk penggunaan yang lebih mudah. Sistem ini juga memuatkan pelbagai fungsi seperti Apple CarPlay, Android Auto, StarLink, Wifi dan sebagainya.
Ruang kabin juga dikatakan lebih senyap sebanyak 3 dB untuk pemanduan di lebuh raya terima kasih kepada penggunaan ‘weather strip’ yang mengurangkan gegaran, serta kaca penebat bunyi pada pada cermin penghadang angin dan pintu hadapan. Bukan itu sahaja, penggunaan SGP juga menjadikan kereta ini lebih luas dan selesa berbanding sebelum ini.
Bergantung pada varian, Legacy menampilkan enjin boxer 2.4-liter dengan pengecas turbo yang mampu menghasilkan 260 hp pada 5,600 rpm dan 376 Nm dari 2,000 hingga 4,800 rpm. Dipadakan dengan Lineartronic CVT dengan mod manual dan paddle shifter, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.1 saat.
Menurut Subaru, sistem hidraulik CVT model ini menggunakan minyak kelikatan lebih rendah untuk mengurangkan kehilangan kuasa (power loss) sebanyak 32% jika dibandingkan dengan CVT pada versi terdahulu.
Selain varian turbo, Legacy juga boleh didapati dengan enjin boxer aspirasi natural 2.5-liter baharu yang diperkenalkan pada Forester 2019. Dilengkapi dengan sistem suntikan terus dan 90% komponen baharu, enjin tersebut menghamburkan 182 hp pada 5,800 rpm dan 239 Nm pada 4,400 rpm.
Bagi pasaran Amerika Syarikat, setiap varian Legacy didatangkan dengan teknologi bantuan pemandu EyeSight yang kini dilengkapi dengan ciri Lane Centering Function bagi membantu pemandu mengekalkan kedudukan kereta di dalam lorong. Turut disertakan adalah Front View Monitor yang menggunakan kamera untuk menangkap imej pada titik buta pemandu di hadapan kenderaan dan memaparkan pandangan 180 darjah pada skrin.
No Comment