Bentley Continental GT Kini Dengan Enjin V8
Selain enjin 12 silinder dalam konfigurasi W, Bentley Continental GT generasi ketiga kini boleh didapati dengan enjin twin-turbo 4.0-liter V8 baharu. Ia ditawarkan pada kedua-dua varian Coupe dan Convertible.
Menjana 542 hp dan 770 Nm, enjin baharu ini membolehkan Continental GT memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.0 saat bagi Coupe dan 4.1 saat bagi Convertible. Kedua-duanya varian mempunyai kelajuan maksimum yang sama iaitu 318 km/j.
Untuk perbandingan, varian 6.0-liter biturbo W12 yang mempunyai 662 hp dan 897 Nm memerlukan 3.7 saat untuk mencapai kelajuan yang sama dan boleh memecut sehingga 333 km/j.
Enjin baharu ini bukan sahaja lebih berkuasa, malah ia juga dikatakan lebih ‘mesra alam’ dengan adanya sistem penyahaktifan silinder (cylinder deactivation system) yang berfungsi untuk mematikan empat silinder bergantung kepada cara pemanduan. Proses ini tidak menjejaskan kelancaran jentera mewah ini kerana ia berlaku dalam hanya 20 milisaat.
Seperti model Bentley lain yang dihasilkan sebelum ini, Continental GT boleh dikustom mengikut citarasa pemilik dengan sembilan reka bentuk rim bersaiz sehingga 22 inci dan beberapa warna luaran eksklusif untuk dipilih. Bukan itu sahaja, bumbung fabrik varian Convertible didatangkan dengan tujuh pilihan warna.
No Comment