Berita Auto

BMW 3 Series (G20) Kini Di Malaysia – RM328,800

BMW Malaysia secara rasminya telah melancarkan BMW 3 Series generasi ketujuh serba baharu. Ditawarkan dalam varian 330i M Sport dengan harga bermula RM328,800, model sport sedan ini boleh didapati di semua pengedar sah BMW di seluruh negara bermula hari ini.

BHP Banner Smart

Dari segi penampilan, model G20 ini adalah 76 mm lebih panjang (4,709 mm), 16 mm lebih lebar (1,827 mm) dan 6 mm lebih tinggi (1,435 mm) berbanding model sebelum ini. Jarak antara roda hadapan dan belakang juga bertambah sebanyak 41 mm (2,851 mm).

BMW 3 Series G20

Gril ‘kidney’ klasik kini tampak lebih besar dan lebar. Ia mengunjur ke lampu hadapan berkembar yang dilengkapi dengan LED serta didatangkan dengan teknologi Bi-LED. Lampu belakang tiga dimensi yang langsing pula didatangkan dalam bentuk L.

BMW 3 Series G20

Kereta ini mengekalkan bentuknya yang dikenali dengan jarak roda yang panjang, ‘overhang’ pendek, garis bumbung seperti coupe dan lengkok Hofmeister pada tiang C. Spoiler aerodinamik pada bahagian belakang dan muncung ekzos berkembar berukuran 90 mm memberikan ia penampilan sporty.

BMW 3 Series G20

Selain stereng M Sport pelbagai fungsi dengan paddle shifter dan pencahayaan ambien, kabin 3 Series dipenuhi dengan pelbagai teknologi terkini, termasuklah BMW Intelligent Personal Assistant dan BMW Digital Key.

BMW 3 Series G20

Intelligent Personal Assistant membolehkan pemandu mengoperasikan kenderaan dan pelbagai fungsi yang lain dengan hanya menggunakan arahan suara, manakala Digital Key pula membolehkan kereta dibuka dan dikunci dengan menggunakan teknologi Near Field Communication (NFC) pada telefon pintar Android yang terpilih.

BMW 3 Series G20

Lebih menarik lagi, enjin boleh dihidupkan dengan meletakkan telefon pintar ke dalam ruang penyimpanan yang turut mempunyai fungsi pengecasan.

BMW 3 Series G20

Selain itu, model ini turut didatangkan dengan ciri BMW Live Cockpit Professional yang merangkumi kluster instrumen digital sepenuhnya berukuran 12.3 inci dan paparan 10.25 inci, selain ciri Park Assist dan Reversing Assist.

BMW 3 Series G20

Dengan 258 hp dan 400 Nm dari 1,550 hingga 4,400 rpm, enjin 2.0-liter TwinPower Turbo petrol ini merupakan enjin empat silinder paling berkuasa yang pernah digunakan pada model BMW.

BMW 3 Series G20

Ia membolehkan 330i memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.8 saat, dan dengan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan, sedan sport ini hanya menggunakan 6.4 liter bahan api bagi setiap 100 km.

BMW 3 Series G20

Dengan pembinaan ringan yang pintar, 3 Series ini kini 25 kg lebih ringan dengan berat keseluruhan 1,545 kg. Tahap keteguhan struktur badan dan sambungan suspensi M Sport juga ditambah baik, dengan pengagihan berat 50:50 serta pusat graviti yang rendah.

BMW 3 Series G20

330i M Sport ditawarkan dalam lima warna iaitu Portimao Blue, Black Sapphire, Alpine White, Mineral Grey dan Sunset Orange, degnan padanan upholsteri kulit Vernasca berwarna hitam atau Cognac, serta kemasan dalaman Aluminium Tetragon.

BMW 3 Series G20

Pemilik 3 Series baharu boleh menikmati pengalaman Pemilikan Premium yang ditawarkan oleh BMW Group Malaysia, dan ia merangkumi: Waranti Perbatuan Tanpa Had Bertempoh 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma, Program Waranti Tayar Bertempoh 2 Tahun/24 Bulan oleh BMW untuk penawaran servis ‘Run Flat Tyre’, Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW, Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ – BMW White Card dan Servis Dalam Talian oleh BMW.

 

Previous post

Puspakom Saran Pemandu E-Hailing Hadir Pemeriksaan

Next post

Renault Megane RS Trophy Baharu Akan Datang Ke Malaysia Tidak Lama Lagi

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *