BMW Z4 (G29) Buat Penampilan Sulung di Malaysia
Selain melancarkan 3 Series baharu, BMW Malaysia turut sempat membuat kejutan dengan memperkenalkan Z4 (G29) baharu yang akan memasuki pasaran tempatan bermula Mei ini.
Walaupun unit yang dipertontonkan ini adalah varian M40i dengan enjin turbo 3.0-liter enam silinder sebaris, syarikat itu mengesahkan bahawa ia akan menawarkan varian sDrive30i M Sport yang dikuasakan oleh enjin 2.0-liter empat silinder.
Dengan 258 hp dan 400 Nm dari 1,550 hingga 4,400 rpm, Z4 sDrive30i yang dilengkapi dengan transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuan mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.4 saat, dengan kelajuan maksimum 250 km/j.
Selain itu, model roadster ini turut didatangkan dengan komponen-komponen yang tercanggih dalam industri automotif seperti suspension M Sport dan Variable Sport Steering.
Antara kelengkapan standard yang akan disertakan adalah lampu LED dengan corak heksagon, BMW Digital Key, panel instrumen BMW Live Cockpit Professional, serta Intelligent Parking Assistant dengan Reversing Assistant.
Z4 akan ditawarkan dalam warna San Francisco Red, Misano Blue, Black Sapphire dan Alpine White. Bahagian dalaman pula boleh didapati dalam warna hitam dengan sulaman hitam, Magma Red dengan sulaman hitam, serta perang-merah (Cognac) dengan sulaman hitam.
Harga anggaran bagi model ini adalah RM460,000.
No Comment