Jaguar Kongsi Tips Dapatkan Posisi Memandu Yang Betul
Walaupun sudah bertahun-tahun memiliki lesen memandu, masih ramai di antara kita yang sebenarnya tidak tahu posisi memandu yang betul. Untuk itu, Jaguar telah menyiarkan satu video berdurasi kurang dua minit bagi membantu mencari posisi yang optimum ketika memandu.
Menurut syarikat itu, terdapat beberapa tips yang boleh diamalkan bagi mendapatkan posisi dan postur yang betul. Pertama, keluarkan barang-barang seperti dompet dan telefon pintar dari poket kerana ia sebenarnya boleh menjejaskan kedudukan anda.
Kedua, pastikan bahagian belakang anda menyentuh tempat duduk dengan sepenuhnya. Laraskan kerusi supaya tulang belakang anda berada dalam kedudukan yang lurus. Jarak antara kerusi dan pedal juga perlu dilaraskan supaya lutut masih boleh dibengkokkan sedikit ketika pedal ditekan secara maksimum.
Seterusnya, pastikan siku anda bengkok sedikit ketika memegang stereng. Bahu anda sepatutnya masih bersentuhan dengan tempat duduk ketika memutar stereng.
Posisi memandu yang betul bukan sahaja membuatkan anda berasa lebih selesa untuk jangka masa yang lebih lama, malah ia juga memberikan kelebihan dari segi kawalan kenderaan.
No Comment