Ranger Tawan 20.5 Peratus Pasaran Segmen Pikap
Nampak gayanya Ford Ranger sah semakin popular. Permulaan kukuh SDAC-Ford untuk tahun 2019 dibantu rangkaian terbaharu pikap mereka ini. Siaran akhbar Sime Darby Auto Connexion (SDAC) semalam mengumumkan peratusan terkini Ranger dalam segmen pikap.
Siaran Akhbar
Sime Darby Auto Connexion (SDAC), pengedar tunggal jenama Ford di Malaysia telah mengumumkan prestasi jualan yang cemerlang untuk bulan Januari di dalam pasaran tempatan, hasil dari permintaan kukuh untuk trak pikap “Built Ford Tough” Ranger.
Jualan untuk bulan Januari 2019 sebanyak 590 unit untuk trak pikap Ranger membolehkan pegangan segmen pikap untuk Ford melonjak naik 20.5 peratus.
“Permulaan yang cemerlang untuk tahun ini mengesahkan lagi daya tarikan pasaran yang semakin meningkat untuk trak pikap Ford Ranger. Lonjakan dalam penjualan trak Ranger juga dibantu dengan pelancaran model Ranger Baharu yang lengkap dengan sembilan varian baharu, lengkap dengan ciri-ciri keselamatan yang pertama dan juga satu-satunya di dalam kelas tersebut,” ujar Syed Ahmad Muzri bin Syed Faiz, Pengarah Urusan SDAC.
Barisan varian Ranger baharu yang terdiri dari XL, XLT, XLT Plus, Wildtrak dan Ranger Raptor nyata direka untuk memenuhi kesemua segmen pasaran.
Ranger Raptor pula membuka lembaran baharu di dalam pasaran trak pikap Malaysia apabila ia menjadi trak pikap pertama dan satu-satunya di dalam segmen pikap premium berprestasi tinggi.
Sejak tahun 2012, Ranger tidak henti-henti mengungguli carta anugerah automotif Malaysia. Antara yang terkini termasuklah anugerah Trak Pikap Terbaik Tahun 2018 oleh Malaysia Car Of The Year (COTY) dan DSF.my Allianz Vehicle of the Year (VOTY) Award, Anugerah Emas untuk Pikap Terbaik 2018 untuk People’s Choice Awards and Editor’s Choice Award daripada Carlist.my serta Trak Pikap Terbaik Pilihan Editor 2018 daripada Top Gear Chinese.
“Kemenangan pelbagai anugerah daripada industri untuk trak Ranger mengukuhkan lagi populariti Ranger di kalangan pengguna Malaysia dan ia juga terus menjadi produk paling laris untuk Ford di negara ini,” tambah Muzri.
Untuk info lebih lanjut atau membaca laporan pandu uji Ford Ranger dari penulis-penulis automotif terkenal Malaysia, lawati laman web pelbagai bahasa SDAC di https://www.sdacford.com.my/bm/cerita-ford/cerita-ford-ranger-baharu.
No Comment