Kenyataan Rasmi PLUS Mengenai Kesesakan Lalu Lintas Kuala Kangsar-Terowong Menora
Berikut adalah kenyataan rasmi PLUS bertarikh 27 Mac 2019 berhubung kesesakan teruk di laluan Kuala Kangsar-Terowong Menora baru-baru ini:
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melahirkan rasa kesal dan simpati serta memohon maaf kepada semua pelanggan yang terperangkap di dalam kesesakan teruk di laluan Kuala Kangsar-Terowong Menora pada Ahad, 24 Mac. PLUS amat memahami situasi serta kesulitan yang dialami oleh pelanggan yang terpaksa mengharungi kesesakan dalam tempoh yang panjang berpunca daripada kebakaran dua buah treler di KM259.2 (Arah Selatan) di laluan terbabit.
Sejurus selepas mendapat laporan kejadian, PLUS adalah yang pertama tiba di lokasi kejadian dan dengan segera memaklumkan kepada Jabatan Bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi; mengikut prosedur piawaian termasuk memberikan laporan trafik menerusi akaun Twitter PLUSTrafik dan serta papantanda elektronik di sepanjang lebuh raya.
PLUS juga telah mengaktifkan pusingan-U sementara dan susur keluar bagi memberikan para pelanggan laluan alternatif. Selepas ketibaan pihak berkuasa di lokasi kejadian, usaha mengawal dan memulih segera dilancarkan. Meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran seperti cuaca buruk, tumpahan minyak dan jumlah trafik hujung minggu yang tinggi, PLUS amat menghargai usaha dan komitmen dari Jabatan Bomba untuk memadamkan kebakaran, juga PDRM dan lain-lain agensi untuk sokongan mereka dalam pengurusan trafik.
Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan PLUS. Mengambil iktibar dari kejadian-kejadian sebelum ini, PLUS komited untuk memberikan usaha yang terbaik bagi menangani insiden ini selain terus menambahbaik prosedur operasi termasuk kerjasama yang lebih erat dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi memperbaiki tempoh masa tindak balas. Syarikat pengendali lebuhraya itu juga amat berminat untuk berbincang bersama syarikat-syarikat pengangkutan dan logistik tentang usaha-usaha kolaboratif bagi mengurangkan kemalangan melibatkan kenderaan berat.
PLUS juga menggalakkan semua pemandu untuk mengamalkan tip-tip pemanduan bertahan (defensive driving tips), dan menjemput mereka untuk berehat seketika apabila perlu, khususnya semasa pemanduan jarak jauh. PLUS juga menyediakan talian bebas tol, PLUSLline di 1-800-88-0000, atau memuat turun aplikasi telefon bimbit PLUS yang mempunyai ciri SOS untuk pelanggan yang memerlukan bantuan kecemasan semasa berada di lebuhraya PLUS.
No Comment