Mitsubishi Triton Absolute Sasar Saing Ranger Raptor
Ford Ranger Raptor terus menerus menerima maklum balas yang positif daripada peminat trak pikap sejak ia dilancarkan pada tahun lalu. Sebagai pesaing yang turut mempunyai trak pikap dalam barisan modelnya, Mitsubishi sudah tentu tidak senang duduk dan hasilnya, syarikat itu telah memperkenalkan Triton Absolute di acara Bangkok International Motor Show 2019.
Tetapi jangan terlalu teruja kerana model ini tidak akan dijual dalam masa terdekat. Ia sebenarnya sebuah model konsep dan masih berada dalam fasa ujikaji. Mitsubishi berkata bahawa ia akan dipamerkan di pelbagai acara dalam tempoh 12 bulan akan datang untuk mendapatkan reaksi dan maklum balas daripada orang awam.
Oleh kerana ia sebuah model konsep, sebahagian besar spesifikasi Triton Absolute masih belum didedahkan. Apa yang kami tahu ialah jentera ini berada pada kedudukan 50 mm lebih tinggi berbanding model standard bagi menghasilkan jarak lega tanah (ground clearance) yang lebih besar.
Jarak antara roda kiri dan kanan (track) dilebarkan bagi memberi ruang kepada tayar Falken Wildpeak yang digunakan, manakala jarak pergerakan suspensi (travel) ditambah bagi memberikannya kelebihan dari segi pemanduan off-road.
Dari segi penampilan, Triton Absolute tampil lebih agresif dengan kit badan tersendiri serta tonneau yang lengkap dengan pemegang berwarna merah. Ia juga mempunyai lampu LED tambahan pada bahagian bumbung. Namun paling menarik sekali adalah fender dan tailgate yang diperbuat daripada gentian karbon.
Maklumat mengenai enjin tidak didedahkan, namun model konsep yang ditunjukkan ini berkemungkinan besar dikuasakan oleh enjin standard 2.4-liter MIVEC dengan teknologi Variable Valve Timing dan Variable Geometry Turbo yang menjana 181 PS dan 430 Nm.
No Comment