Pandu Uji: Mazda6 2.2D dengan GVC
Sekali imbas, Mazda6 ini kelihatan sama sahaja seperti model yang memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2013. Namun sebenarnya ia merupakan model facelift yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu dengan beberapa penambahbaikan visual dan teknikal.
Bagi rangkaian model facelift, Mazda6 boleh didapati dalam bentuk Sedan dan Touring, dengan pilihan enjin petrol 2.0-liter dan 2.5-liter, serta enjin diesel 2.2-liter. Unit berwarna putih yang sempat kami uji ini merupakan varian diesel.
Penampilan luaran tidak begitu berbeza dengan sebelum ini namun jika diamati ia kelihatan lebih kacak dengan rekaan jeriji yang diperbaharui, serta keliling krom yang diintegrasikan dengan lampu utama. Saiz lampu yang lebih langsing juga memberikan ia imej yang lebih moden.
Menggunakan konsep yang sama iaitu kemasan krom digabungkan dengan lampu, bahagian belakang kelihatan lebih lebar berbanding sebelum ini. Muncung ekzos berkembar dan rim 19 inci baharu menjadi pelengkap imej moden dan elegan model ini.
Ruang kabin terasa lebih segar terima kasih kepada material lembut pada papan pemuka dan kemasan hitam piano. Penulis secara peribadi menyukai konsep minimalis yang digunakan pada konsol tengah. Ia tidak menyerabutkan kepala dan membolehkan penulis memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pemanduan.
Dengan skrin 8 inci sebagai komponen utama dan tombol kawalan serta beberapa butang lain yang diletakkan berdekatan dengan tuil gear, penulis tidak memerlukan masa yang lama untuk membiasakan diri dengan ciri-ciri yang ada di dalam kabin Mazda6 ini.
Sementara itu, butang untuk ciri-ciri seperti Lane Keep Assist, Stability Control, i-Stop dan sensor parkir pula boleh diakses pada sebelah kanan papan pemuka.
Tidak banyak yang boleh diperkatan tentang ruang kabin melainkan ia cukup selesa tidak kira sama ada untuk pemandu atau penumpang. Ini dibantu lagi dengan kehadiran ciri-ciri seperti tempat duduk boleh laras, pendingin hawa dua zon dan port pengecas USB belakang.
Mazda6 ini merupakan satu-satunya pesaing sedan segmen D di negara ini yang didatangkan dengan enjin diesel. Berkapasiti 2.2-liter, ia menghamburkan 188 hp pada 4,500 rpm dan 450 Nm pada 2,000 rpm. Jelas sekali bahawa jumlah tork yang tinggi pada julat rpm yang rendah memberikan sedan ini kelebihan dari segi pecutan, terutamanya ketika baru mula bergerak.
Rata-rata pengguna di Malaysia mengelak daripada membeli kereta dengan enjin diesel kerana ia bukan sahaja dianggap tidak ‘refined’ seperti kebanyakan enjin petrol moden, malah lebih bising dan mempunyai bau yang kurang menyenangkan. Namun dengan enjin SkyActiv-D ini, Mazda membuktikan bahawa dengan kepakaran teknikal yang betul, enjin diesel juga boleh diaplikasikan pada kenderaan penumpang.
Lagipun, diesel gred Euro 5 kini juga semakin mudah didapati terutamanya bagi mereka yang tinggal di sekitar Lembah Klang. Jadi soal kerisauan tentang kebersihan, prestasi serta jangka hayat enjin ini sepatutnya tidak timbul.
Antara penyumbang terbesar kepada kelancaran enjin ini adalah nisbah mampatan 14:1 yang dikatakan paling rendah bagi mana-mana enjin diesel keluaran massa. Selain itu, transmisi SkyActiv-Drive turut menghasilkan pemanduan yang memuaskan menerusi penghantaran kuasa yang cepat dan lancar.
Menurut Mazda, transmisi ini menggabungkan semua kelebihan transmisi automatik konvensional, CVT dan transmisi klac berkembar (DCT). Hasilnya, transmisi ini mampu bekerja dengan senyap dan anda tidak akan merasa ianya sedang bekerja, walaupun ketika sedang memecut.
Sesuai dengan konsep Jinba-Ittai yang diketengahkan oleh jenama dari Jepun ini, casis dan sistem suspensi Mazda6 telah ditambah baik dan ini akan membuatkan sesiapa sahaja yang memandunya terasa seperti bersatu dengan kereta ini. Ditambah pula dengan sistem G-Vectoring Control (GVC), kereta ini seolah-olah faham dengan kehendak anda dan di mana ia sepatutnya berada ketika memasuki selekoh.
GVC mungkin kedengaran rumit tetapi secara asasnya ia ciri yang agak ringkas. Apabila anda mula memasuki selekoh, enjin akan mengurangkan tork dan ini akan menyebabkan berat dipindahkan ke bahagian hadapan kenderaan, sekaligus memberikan lebih cengkaman pada tayar hadapan.
Apabila anda mengekalkan sudut stereng di sepanjang selekoh, enjin akan mengembalikan tork seperti sedia kala dan ini akan menyebabkan berat dipindahkan semula ke bahagian belakang. Hasilnya, tayar belakang akan mencengkam semula dan kenderaan akan mula menjadi lebih stabil.
Selain GVC, Mazda6 turut menampilkan kelengkapan seperti kamera pandangan 360 darjah, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning, Driver Attention Alert dan Smart City Brake Support. Dari segi keselematan, ia didatangkan dengan enam beg udara, ABS dengan EBD dan Brake Assist, Stability Control, Traction Control, Emergency Stop Signal, Hill Launch Assist dan Auto Hold.
Dijual pada harga RM197,401, Mazda6 2.2D adalah lebih mahal berbanding pesaingnya yang lain namun harus diingat bahawa ia adalah model CBU yang diimport sepenuhnya dari Jepun. Jadi, anda mendapat kualiti, prestasi dan senarai kelengkapan standard yang sepadan dengan harga yang dibayar.
Spesifikasi Mazda6 2.2D
Enjin: DOHC dengan Variable Geometry Turbo
Kapasiti: 2,191 cc
Kuasa: 188 hp @ 4,500 rpm
Tork: 450 Nm @ 2,000 rpm
Transmisi: Skactiv-Drive
0-100 km/j: 8.4 saat
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM197,401
No Comment