Proton Persona 2019 Boleh Ditempah Mulai Hari Ini
Proton Persona 2019 telah diperlihatkan secara rasmi kepada pihak media di ibu pejabat syarikat itu di Shah Alam. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, sedan segmen B ini menerima penambahbaikan dari segi rekaan luaran serta sistem infotainmen canggih seperti yang ada pada Iriz 2019 dan X70.
Dijangka dilancarkan pada penghujung bulan ini, Persona boleh ditempah secara dalam talian dengan bayaran RM9.99 mulai hari ini sehingga 22 Mac. Orang ramai yang ingin melihat model ini dengan lebih dekat boleh mengunjungi pusat 3S Proton Edar di Plentong, Johor Bahru pada 16 dan 17 Mac ini.
Direka oleh pasukan yang diketuai oleh Ketua Reka Bentuk Proton, Azlan Othman, Persona 2019 tampil lebih segar menerusi jeriji berbentuk ‘ethereal bow’ dengan corak ‘infinite weave’, serta lampu nyalaan siang LED dengan perumah honeycomb pada bahagian hadapan.
Bahagian belakang juga kelihatan lebih moden dengan logo ‘P R O T O N’ pada pintu boot, lencana ‘Persona’ dalam tulisan baharu, kemasan bampar dan juga spoiler yang lebih halus. Antena sirip jerung dan rim aluminium 15 inci melengkapkan penampilan baharu model ini.
Seperti Iriz, Persona turut dilengkapi dengan head unit pintar dengan kad eSIM yang membolehkan pemandu melakukan penstriman muzik, kemaskini cuaca, navigasi dan pengenalan suara. Sistem ini boleh diakses menerusi skrin sentuh tujuh inci dengan memori dalaman 16 GB, Wifi dan fungsi pencerminan untuk telefon pintar Android.
No Comment