258 Kakitangan Proton Terima Sijil Kemahiran Malaysia
Proton hari ini menganugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 kepada seramai 258 kakitangan dari Proton Shah Alam dan Tanjung Malim. Majlis graduasi tersebut telah diserikan oleh Dr. Mohd Rashid Buyong Hamzah, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.
Hasil kerjasama antara Proton dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia, penganugerahan sijil tersebut menunjukkan komitmen syarikat untuk meneruskan pembangunan para pekerjanya bagi mengekalkan momentum dalam mengembangkan perniagaan. Ia juga menunjukkan pengiktirafan terhadap kepentingan pekerja mahir dalam industri automotif, terutamanya dalam bidang kualiti produk dari segi proses pembuatan.
“Pekerja-pekerja kami merupakan aset utama untuk meningkatkan daya saing Syarikat di dalam industri. Proton komited untuk membangun dan menghasilkan lebih ramai pekerja mahir dan sebagai pengeluar kereta kebangsaan, tugas kami bukan sekadar membina kereta tetapi menjadi pemacu utama dalam pembangunan modal insan,” kata Dato’ Radzaif Mohamad, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.
SKM adalah perakuan rasmi yang diiktiraf oleh kerajaan kepada individu yang telah mencapai keupayaan yang diperlukan untuk melatih dan dipersiapkan dengan kecekapan melaksanakan tugas dan fungsi dalam bidang pekerjaan tertentu. Bagi seramai 258 pekerja Proton ini, bidang khusus yang diiktiraf adalah dalam industri automotif.
Di bawah Sistem Sijil Kemahiran Malaysia JPK, terdapat lima tahap kemahiran yang diiktiraf kelayakan untuk pekerjaan tertentu dan yang terpilih. Latihan penilaian melibatkan lima bidang utama termasuklah pemasangan badan automotif, pemasangan enjin automotif, lukisan automotif, pemeriksaan trim and final automotif serta pentadbiran pejabat.
No Comment