Aston Martin DBS Superleggera Volante Didedahkan
Pertengahan tahun lalu, Aston Martin DBS Superleggera telah diperkenalkan kepada dunia sebagai model flagship jenama supercar British itu. Kini, tiba giliran versi convertible pula didedahkan.
Dikenali sebagai DBS Superleggera Volante, ia mempunyai ‘nadi’ yang sama dengan versi coupe iaitu enjin 5.2-liter twin-turbo V12 yang menjana 715 hp dan 900 Nm, serta transmisi automatik lapan kelajuan yang dipadankan dengan Limited-Slip Differential dan ciri Torque Vectoring.
Seperti DBS Superleggera, model ini mampu memecut sehingga 340 km/j dengan bumbung terbuka. Bagaimanapun, pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam 3.6 saat, 0.2 saat lebih perlahan. Ini kerana ia mempunyai lebihan berat sebanyak 170 kg akibat kehadiran mekanisma bumbungnya.
Bercakap tentang bumbung, DBS Superleggera Volante didatangkan dengan bumbung jenis ‘soft top’ yang mempunyai lapan lapisan penebat dan material akustik. Boleh didapati dalam lapan warna, ia boleh diturunkan dalam 14 saat dan dinaikkan dalam 16 saat.
Model ini turut menerima penambahbaikan aerodinamik yang merangkumi spoiler hadapan, ‘airdam’, ‘side strakes’ serta sistem Aeroblade II pada bahagian belakang. Pada kelajuan maksimum, jentera ini menjana 177 kg downforce, kurang 3 kg berbanding versi coupe.
Bagi pasaran United Kingdom, DBS Superleggera Volante dijual pada harga £247,500 (RM1.32 juta) dan penyerahan dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.
No Comment