Kawasaki Z400 dan Z250 Dilancarkan Bagi Pasaran Malaysia
Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd telah melancarkan dua model ‘supernakde’ baharu iaitu Z400 SE ABS dan Z250 ABS. Kedua-dua model menampilkan penggayaan terkini yang diinspirasikan oleh konsep Sugomi serta enjin baharu yang menjanjikan tahap prestasi lebih tinggi.
Diperkenalkan di acara EICMA pada November 2018, Z400 dikuasakan oleh enjin 399 cc silinder berkembar selari yang menjana 45 PS pada 10,000 rpm dan 38 Nm pada 8,000 rpm, iaitu 6 PS lebih tinggi berbanding model terdahulu.
Sementara itu, enjin 249 cc pada Z250 kini menghasilkan 37 PS pada 12,500 rpm dan 23 Nm tork pada 10,000 rpm, mewakili peningkatan sebanyak 6 PS berbanding versi sebelum ini.
Peningkatan kuasa pada kedua-dua model dicapai menerusi penggunaan downdraft intake baharu, serta kotak udara lebih besar yang meningkatkan tahap pengambilan udara. Bukan itu sahaja, kehadiran klac Slipper & Assist menjadikan tuil klac lebih ringan sebanyak 20%.
Dengan ukuran panjang 1,990 mm, lebar 800 mm, tinggi 1,160 mm dan jarak roda (wheelbase) 1,370 mm, Z400 sebenarnya mempunyai ukuran dimensi yang sama dengan Z250 kecuali pelananya yang berada pada kedudukan 10 mm lebih rendah iaitu 785 mm.
Dari segi ergonomik, kedudukan menunggang yang tegak, bar hendal lebar serta pelana yang lebih tebal (90 mm) memberikan penunggang posisi yang ideal untuk kawalan aktif. Ini dipadankan dengan tempat meletak kaki aluminum yang diletakkan pada kedudukan yang lebih ke hadapan.
Kedua-dua model dilengkapi dengan fork teleskopik berukuran 41 mm pada bahagian hadapan dan suspensi Bottom-Link Uni-Trak dengan penyerap hentak gas dan pra-beban boleh laras. Sistem brek pula terdiri daripada cakera 310 mm di hadapan dan cakera 220 mm di belakang.
Selain itu, Z400 dan Z250 juga mendapat kluster instrumen yang sama dengan Z650. Selain penunjuk kedudukan gear, kluster instrumen tersebut mempunyai tiga mod paparan serta penujuk tunggangan ekonomi. Lampu LED pada bahagian depan dan belakang juga standard pada kedua-dua model.
Z400 SE ABS ditawarkan dalam warna Pearl Storm Grey dengan harga bermula dari RM28,755, manakala Z250 ABS boleh didapati dalam warna Candy Lime Green dengan harga RM21,998.
No Comment