Mercedes-Benz A-Class Sedan Terjah Pasaran Malaysia
Barisan kereta kompak Mercedes-Benz terus berkembang dengan pelancaran model terbaru iaitu A-Class Sedan. Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu A 200 Progressive Line (RM229,888) dan A 250 AMG Line (RM267,888).
Dibina di atas platform Modular Front-Drive Architecture generasi kedua (MFA2), A-Class Sedan tampil dengan rekaan yang sama seperti versi hatchback namun ia mempunyai ruang but berukuran 420 liter, iaitu 70 liter lebih luas berbanding A-Class hatchback.
Bahagian dalaman juga menampilkan rekaan moden yang sama, berserta dengan paparan media dan panel instrumen masing-masing berukuran 10.25 inci dan motif turbin pada corong pendingin hawa. Sistem infotainment Mercedes-Benz User Experience (MBUX) turut didatangkan secara standard.
Dari segi kelengkapan, kedua-dua varian mendapat lampu LED High Performance dengan ciri Adaptive Highbeam Assist, dan rim aloi ringan bersaiz 18 inci. Beza antara kedua-duanya adalah pada kit badan, di mana A 250 tampil lebih sporty dengan kit AMG Line.
A 200 dikuasakan oleh enjin 1.3-liter empat silinder yang menghasilkan 163 hp pada 5,500 rpm dan 250 Nm pada 1,620 rpm. Ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 230 km/j.
Sementara itu, A 250 pula menampilkan enjin 2.0-liter empat silinder dengan 224 hp pada 5,500 rpm dan 350 Nm pada 1,800 rpm. Masa pecutan 0 hingga 100 km/j adalah 6.3 saat manakala kelajuan maksimum adalah 250 km/j. Kedua-dua varian didatangkan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.
Kedua-dua varian dilengkapi dengan pakej bantuan pemandu yang merangkumi kamera undur, Active Parking Assist dengan Parktronic, Active Brake Assist, Cruise Control, Keyless-Go dan Pre-Safe.
No Comment