Porsche Taycan Hampir Siap Diuji
Kereta elektrik pertama Porsche iaitu Taycan kini berada sedang berada dalam fasa terakhir ujian sebelum memasuki fasa pengeluaran menjelang akhir tahun ini.
Di Scandinavia, jentera ini membuktikan kemampuan pemanduan dinamik di atas permukaan salji dan ais manakala di Afrika Selatan dan Dubai, ia melalui ujian yang melibatkan prestasi berterusan dan ketahanan ketika mengecas di bawah cuaca panas.
Menurut Porsche, ujian bagi model ini telah dilakukan secara komprehensif di lebih 30 buah negara di seluruh dunia dengan julat suhu antara -35 hingga lebih 50 darjah Celsius.
“Sebelum Taycan dilancarkan ke pasaran pada akhir tahun ini, kita akan meliputi kira-kira enam juta kilometer di seluruh dunia. Kami gembira dengan status semasa kenderaan-kenderaan tersebut. Taycan akan menjadi sebuah Porsche sebenar.” kata naib presiden barisan model itu, Stefan Weckbach.
Berikut adalah fakta-fakta menarik mengenai fasa ujian Taycan:
- Jumlah jarak: Kira-kira 6 juta kilometer, 2 juta daripadanya adalah ujian ketahanan (endurance)
- Negara: 30 buah negara, termasuk Amerika Syarikat, China, UAE dan Finland
- Suhu: -35 hingga 50 darjah Celsius
- Kelembapan udara: Dari 20 hingga 100 peratus
- Ketinggian: Dari 85 meter bawah paras laut hingga 3,000 meter atas paras laut
- Kitaran pengecasan: Lebih 100,000 menggunakan pelbagai teknologi pengecasan di seluruh dunia
- Pasukan pembangunan: Kira-kira 1,000 pemandu uji, juruteknik dan jurutera
Taycan akan diperkenalkan pada September ini dan akan dilancarkan ke pasaran pada akhir tahun. Syarikat itu berkata bahawa ia mempunyai lebih 20,000 pembeli prospektif yang telah mendaftarkan nama mereka dan membuat bayaran pendahuluan.
Dari segi prestasi, Taycan memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam tempoh kurang 3.5 saat. Ia mempunyai jarak pemanduan sehingga 500 km mengikut kitaran NEDC. Penggunaan sistem 800-V membolehkan bateri lithium-ion padanya dicas dalam masa hanya empat minit untuk jarak pemanduan sejauh 100 km.
No Comment