Subaru WRX STi Final Edition Terhad Kepada 8 Unit Sahaja
Subaru Sepanyol telah melancarkan WRX STi Final Edition, menandakan pengakhiran model generasi keempat itu.
Oleh kerana ia model edisi akhir, ia juga sangat terhad dengan hanya lapan unit akan ditawarkan. Enam daripadanya didatangkan dalam warna ikonik WR Blue Pearl, manakala selebihnya tampil dalam warna Crystal Black Silica.
Sudah tentu, kesemua WRX STi Final Edition menampilkan rim 19 inci dalam warna emas yang sudah menjadi ‘trademark’ jentera ini. Ia juga dilihat memakai splitter hadapan, kemasan merah pada jeriji dan muncung ekzos berkembar dengan kemasan krom.
Bahagian dalaman pula menampilkan kemasan Alcantara pada stereng, butang penghidup enjin berwarna merah, karpet STi dan plak khas pada bahagian konsol tengah. Setiap pemilik juga akan mendapat keychain khas.
Antara kelengkapan standard yang disertakan adalah kemasukan tanpa kunci, skrin sentuh 7 inci dengan ciri navigasi, sistem audio Harman Kardon dengan sembilan pembesar suara, Blind Spot Warning, lampu automatik dan pengelap cermin automatik.
Enjin turbo 2.5-liter model ini nampaknya tidak disentuh, bermakna ia masih menghasilkan 300 PS pada 6,000 rpm dan 407 Nm pada 4,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan dan sistem pacuan semua roda.
No Comment