Toyota Yaris 2019 Dilancarkan Untuk Pasaran Malaysia
UMW Toyota Motor secara rasminya telah melancarkan model hatchback baru iaitu Toyota Yaris. Ia merupakan model kedua yang dipasang di kilang UMWT di Bukit Raja, Klang, selepas Vios baharu.
Bagi pasaran tempatan, Yaris ditawarkan dalam tiga varian iaitu Yaris 1.5G, Yaris 1.5E dan Yaris 1.5J. Untuk menyerlahkan lagi imej sporty yang dimilikinya, model ini boleh didapati dalam lima pilihan warna iaitu Citrus Mica Metallic, Super White II, Red Mica Metallic, Attitude Black dan Silver Metallic.
Seperti Vios, Yaris dikuasakan oleh enjin 2NR-FE 1.5 liter, empat-silinder DOHC Dual VVT-i yang dipadankan dengan CVT yang dilengkapi dengan teknologi Sport Sequential Shiftmatic tujuh-kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan 107 PS dan 140 Nm tork.
Bagi memberikan lebih nilai tambah, model hatchback ini dilengkapi dengan senarai kelengkapan yang merangkumi ciri-ciri seperti pendingin hawa automatik, sistem DVD-AVX dengan paparan skrin sentuh tujuh-inci lengkap dengan sambungan USB serta Panoramic View Monitor (PVM) yang memaparkan visual 360 darjah.
Dari segi keselamatan, Yaris didatangkan dengan tujuh beg udara, kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dengan kawalan cengkaman (TRC) serta bantuan mula mendaki (HAC). Ciri-ciri standard lain pula termasuk cermin pandang belakang elektrokromatik, peninjau titik buta (BSM) dengan amaran lintasan trafik di belakang, DVR dengan amaran perlanggaran hadapan (FCW) dan amaran penukaran lorong (LDW).
Model terbaru Toyota ini juga telah menerima penarafan ASEAN NCAP lima-bintang. Ini melibatkan semua varian Yaris memandangkan setiap satu daripadanya dilengkapi dengan ciri keselamatan pasif dan aktif yang diwajibkan oleh ASEAN NCAP untuk mana-mana kenderaan dianugerahkan tahap penarafan maksimum.
Harga atas jalan tanpa insurans bagi Yaris adalah RM70,888 bagi varian 1.5J, RM76,888 bagi varian 1.5E dan RM83,888 bagi varian 1.5G. Model ini didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.
No Comment