Toyota Yaris Pasaran US Dilancarkan
Toyota telah melancarkan Yaris hatchback ke pasaran Amerika Syarikat. Tidak seperti Yaris bagi pasaran Malaysia yang akan dilancarkan tidak lama lagi, model pasaran US ini sebenarnya merupakan Mazda2 yang telah melalui proses penjenamaan semula (rebadge).
Ini bukanlah model pertama yang lahir menerusi kerjasama antara dua pengeluar kenderaan dari Jepun itu. Pada tahun lalu, Toyota memperkenalkan Yaris Sedan yang menggunakan Mazda2 Sedan sebagai asas.
Seperti versi sedan, reka bentuk keseluruhan Yaris hatchback saling tak tumpah seperti Mazda2, kecuali pada bahagian hadapan di mana kehadiran jeriji berbentuk trapezium dan lampu yang tajam memberikan ia ‘muka’ yang lebih garang. Ia juga dilihat memakai rim 16 inci dengan rekaan yang sama.
Rekaan dalaman turut dikekalkan dengan konsep minimalis pada bahagian konsol tengah. Dari segi kelengkapan, Yaris didatangkan dengan skrin tujuh inci dengan ciri Android Auto, Apple CarPlay, pengenalan suara dan Bluetooth, serta enam buah pembesar suara.
Varian teratas iaitu XLE mendapat beberapa kelengkapan tambahan seperti sistem pendigin hawa automatik, pengelap cermin automatik, lampu LED automatik, serta kemasan kulit pada stereng, tombol gear, tuil brek parkir dan tempat duduk.
Seperti Mazda2, Yaris dikuasakan oleh enjin SkyActiv-G 1.5-liter yang menghasilkan 106 hp, dengan transmisi automatik enam kelajuan sebagai satu-satunya pilihan.
No Comment