Venue Adalah SUV Paling Kecil Hyundai Setakat Ini
Acara New York International Auto Show 2019 yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan kemunculan satu lagi model SUV dari Hyundai iaitu Venue.
Berukuran 4,036 mm panjang, 1,770 mm lebar, 1565 mm tinggi dengan jarak roda 2,520 mm, Venue merupakan model paling kecil dalam barisan SUV Hyundai yang terdiri daripada Kona, Nexo, Tucson, Santa Fe dan Palisade.
Seperti Kona, model terbaru ini tampil dengan rekaan lampu nyalaan siang LED yang nipis yang berada di atas lampu utama. Jeriji ‘Cascading’ yang merupakan trademark Hyundai turut hadir pada model ini.
Bahagian dalaman juga tidak ubah seperti model tersebut dengan penggunaan stereng dan kluster instrumen yang sama. Terletak di konsol tengah adalah skrin berukuran 8 inci, diikuti dengan butang kawalan sistem infotainmen dan tombol kawalan pendingin hawa.
Di belakang, Venue menyediakan ruang but sebesar 530 liter dan jumlah ini boleh diperbesarkan lagi menjadi 903 liter jika kerusi belakang dilipat sepenuhnya.
Hyundai menyatakan bahawa model ini menampilkan enjin SmartStream Gamma berkapasiti 1.6-liter empat silinder, namun jumlah kuasa dan tork tidak didedahkan. Ia akan didatangkan dengan dua pilihan transmisi iaitu manual enam kelajuan dan Intelligent Variable Transmission (IVT).
Dari segi teknologi bantuan pemandu, Venue dilengkapi dengan Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Lane Keeping Assist (LKA), Blind-Spot Collision Warning (BCW), Driver Attention Warning (DAW), Rear Collision Cross-Traffic Warning (RCCW).
No Comment