Volkswagen Transporter T6.1 Lebih Canggih
Volkswagen telah memperkenalkan Transporter T6.1 di Bauma 2019, pameran perdagangan terbesar dunia untuk jentera pembinaan dan peralatan yang diadakan di Munich, Jerman.
Seperti yang mungkin anda ketahui, Transporter adalah kenderaan komersial serba boleh dan ia boleh didapati dalam banyak versi seperti van panel, Kombi, single-cab, double-cab dan sebagainya.
Model terbaru ini menampilkan beberapa penambahbaikan teknikal termasuk penukaran stereng hidraulik kepada stereng kuasa elektromekanikal. Ini secara tidak langsung membolehkan ia dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu seperti Lane Assist, Park Assist, Side Protection, Rear Traffic Alert dan Trailer Assist.
Bukan itu sahaja, ia juga didatangkan dengan fungsi Road Sign Display dan Cross Wind Assist yang bertujuan menstabilkan kenderaan ketika melalui kawasan angin lintang. Post-Collision Braking System dan Hill Start Assist turut diberikan secara standard.
Transporter T6.1 ditawarkan dengan enjin turbodiesel 2.0-liter yang boleh didapati dalam versi 90 PS, 110 PS, 150 PS dan 199 PS. Versi 150 dan 199 PS boleh dilengkapkan dengan sistem pacuan semua roda sebagai pilihan. Terdapat juga varian elektrik yang mempunyai 112 PS dan jarak pemanduan sejauh 400 km.
Ciri-ciri kemudahan lain yang ada pada model ini termasuklah soket elektrik 230 volt dan ruang penyimpanan berkunci di bawah tempat duduk penumpang hadapan. Ruang kargonya juga mempunyai sistem kunci yang berasingan dari kabin.
No Comment