Bentley Imbau Sejarah 100 Tahun Dengan Buku Edisi Terhad
Pengeluar kenderaan mewah biasanya menyambut ulang tahun mereka dengan menawarkan model edisi terhad, tetapi lain pula ceritnya dengan Bentley yang meraikan ulang tahun ke-100 mereka dengan buku.
Dihasilkan dengan kerjasama penerbit buku mewah, Opus, buku istimewa ini menceritakan secara terperinci abad pertama dalam sejarah jenama mewah dari Crewe itu. Jadi tidak hairanlah ia mempunyai lebih 800 muka surat dengan berat keseluruhan kira-kira 30 kg – bersamaan dengan tiga kampit beras.
Berjudulkan The Bentley Centenary Opus, buku ini boleh didapati dalam tiga versi dan setiap satu daripadanya menampilkan lencana Bentley (sama seperti yang digunakan pada kereta mereka) pada muka hadapan.
Versi Centenary Edition didatangkan dengan empat pilihan kemasan kulit dengan ‘slip case’ yang sepadan. Bentley akan menawarkan 500 naskhah buku Centenary Edition dengan harga £3,000 (RM15,954) setiap satu.
Mulliner Edition pula lebih eksklusif, terhad kepada 100 naskhah dan berharga £12,500 (RM66,476) setiap satu. Pelanggan boleh memilih daripada 17 kemasan kulit yang ditawarkan dan setiap naskhah didatangkan dengan cebisan daripada tayar hadapan kiri jentera lumba Le Mans 2003, Speed 8.
Seperti yang dicadangkan oleh namanya, versi ketiga iaitu 100 Carat Edition dihiasi dengan berlian 100 karat dengan padanan lencana emas putih atau platinum. Hanya tujuh naskhah akan dijual (satu bagi setiap benua) dengan harga £200,000 (RM1.06 juta).
No Comment