BMW 1 Series Dengan Pakej M Performance
BMW 1 Series generasi ketiga yang telah diperkenalkan secara rasmi beberapa hari lalu mengundang pelbagai reaksi dari peminat. Rata-rata menyukai reka bentuknya, namun tidak kurang juga yang mengatakan ia tidak secantik model sebelum ini. Mungkin pakej M Performance yang dipasang pada varian M135i xDrive ini dapat mengubah fikiran mereka.
Bermula dari luaran, pakej ini merangkumi spiltter dan aero flicks pada bampar hadapan, tambahan pada skirt sisi, pelekat M Performance dan spoiler belakang. Cermin sisi dan diffuser belakang diperbuat daripada gentian karbon sebenar dan telah diuji di dalam terowong angin bagi memastikan ia benar-benar memberikan kelebihan aerodinamik.
BMW menawarkan beberapa rekaan rim M Performance dalam saiz 18 dan 19 inci. Bergantung kepada rim yang dipilih, ia didatangkan dalam kemasan hitam matte atau dwi-tona bagi menghasilkan penampilan yang lebih menonjol.
Tersembunyi di sebalik rim ini adalah sistem brek M Performance dengan cakera berukuran 18 inci dan angkup empat omboh untuk gandar hadapan.
Buka pintu dan anda akan dijemput oleh logo BMW M Performance yang dipancarkan ke tanah oleh projektor yang terletak pada pintu, serta stereng M Performance dengan penanda berwarna merah pada kedudukan jam 12. Ia boleh didapati dalam kemasan gentian karbon/Alcantara atau gentian karbon/kulit.
Selain itu, terdapat juga karpet baldu dengan tulisan ‘M Performance’ yang disulam serta paddle shifter gentian karbon untuk varian automatik.
No Comment