BMW X4 xDrive30i M Sport Dilancarkan Untuk Pasaran Malaysia
BMW Malaysia telah melancarkan X4 generasi kedua untuk pasaran tempatan. Ia akan dipasang di dalam negara, sekaligus mengukuhkan komitmen syarikat untuk meningkatkan pelaburannya di negara ini.
Hadir dalam varian xDrive30i M Sport, X4 menampilkan jeriji ‘kidney’ berbentuk tiga dimensi yang lebih besar, lampu LED adaptif dengan High Beam Assistant, brek M Sport dan rim aloi ringan 699M berukuran 20 inci dengan saiz tayar bercampur.
Di dalam, model Sports Activity Coupe ini menyerlahkan kemewahannya dengan paparan 10.25 inci yang mempunyai ciri Navigation System Professional dengan Touch Sensitive Control Display dan BMW ConnectedDrive. Ia juga didatangkan dengan Head-Up Display yang disinambungkan dengan paparan instrumen 12.3 inci dan fungsi arahan suara.
Selain itu, ia juga menampilkan upholsteri kulit Vernasca dalam warna hitam atau merah (Tacora Red), sistem penyaman udara tiga zon dengan kawalan berasingan untuk tempat duduk belakang, bumbung kaca panorama dan sistem audio Harman Kardon dengan 16 pembesar suara.
Dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter, X4 mempunyai 252 hp dan 350 Nm yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.3 saat dan mencapai kelajuan maksimum 240 km/j. Transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuan yang digunakan turut didatangkan dengan ciri Launch Control.
Antara kelengkapan standard yang ada termasuklah sistem pacuan semua roda xDrive, sistem gantungan adaptif, Variable Sport Steering, Electronic Differential Lock, Hill-Start Assist, Hill Descent Control dengan Performance Control.
X4 ditawarkan dalam warna Alpine White, Carbon Black, Flamenco Red dan Phytonic Blue. Upholsteri hitam ditawarkan bagi keempat-empat warna manakala upholsteri Tacora Red hanya untuk warna Alpine White dan Carbon Black.
Ia dijual pada harga RM380,000 (atas jalan, tanpa insurans, dan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, program servis berjadual percuma dan program waranti tayar).
No Comment