DHCV Mula Operasi CKD Tata Motors di Malaysia
Berikutan pelancaran Tata Super Ace dan pelbagai model trak Tata Ultra tahun lepas, DRB-HICOM Commercial Vehicles Sdn. Bhd. (DHCV), pengedar sah kenderaan Tata Motors di Malaysia, bersama-sama dengan Tata Motors Limited (Tata Motors) melancarkan operasi pemasangan tempatan (CKD) untuk kenderaan Tata Motors.
Pelancaran operasi CKD ini ditandakan dengan pemanduan keluar kenderaan Tata Super Ace dan Tata Ultra 814 (7,500kg); dan lori 1014 (10,400kg) yang pertama dihasilkan di kilang pengeluaran ini. Pelancaran ini merupakan langkah strategik untuk merangsang jualan dan penguasaan pasaran bagi rangkaian produk Tata Motors terutamanya dalam segmen pikap kecil dan trak ringan di Malaysia.
Bercakap pada majlis pelancaran ini, Ketua Pegawai Operasi DHCV Mohd Syahrul Yusuf berkata beliau amat teruja kerana dapat bersama-sama menyaksikan peristiwa penting ini.
“Pemasangan tempatan adalah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mempromosikan ekosistem pembekal, sambil mewujudkan peluang pekerjaan dan membangunkan kemahiran baharu. Sambutan mengalakkan terhadap produk-produk Tata di Malaysia membolehkan kami mempercepatkan pemasangan tempatan ketiga-tiga model ini.
Maklum balas positif yang diterima daripada pelanggan kami menunjukkan bahawa kos penyelenggaraan trak Tata adalah rendah dan mempunyai kombinasi dinamik prestasi yang kompetitif dari segi ketahanan dan keselamatan. Tata menawarkan kepada pengguna pelbagai kelebihan dalam urusan perniagaan dan memenuhi keperluan operasi mereka, “katanya.
Ketua Kenderaan Komersil Tata Motors, Perniagaan Antarabangsa, Rudrarup Maitra berkata dia turut sama merasa gembira dengan pelancaran ini.
“Kami gembira untuk mengumumkan pelancaran operasi pemasangan ke-9 kami di luar India. Pelancaran ini mengesahkan komitmen kami ke arah memperluaskan lagi kehadiran kami di Malaysia dan menyokong pekerjaan tempatan. Melalui operasi pemasangan tempatan, kami bersedia untuk menjadi rakan kongsi DHCV dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia dan meneroka lebih banyak potensi perniagaan terutama dalam sektor awam. Kami akan terus menyokong operasi kami di sini dengan memberikan pengalaman perkhidmatan bertaraf dunia untuk para pelanggan kami di Malaysia, “katanya.
Untuk memacu perkembangan dalam segmen jualan dan pasaran, DHCV dan Tata Motors berhasrat untuk melancarkan kempen pemasaran secara menyeluruh di semua rangkaian media.
No Comment