Fitri Positif Hadapi Pusingan 3 Cub Prix
Mohd Fitri Ashraff Razali berdepan tugas baharu apabila bakal menggalas dua tanggungjawab utama pada pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Litar Tangkak, Johor pada 3 dan 4 Mei ini.
Selain beraksi dalam kategori CP150 bersama pasukan Cilik RCB Motorsport, pelumba itu juga kini bertindak sebagai pengurus pasukan FAR MMB Junior Team yang beraksi dalam kategori Wira.
Walaupun akui bukan mudah menggalas dua tugas pada satu masa, namun berbekal pengalaman sebagai pelumba selama ini Fitri yakin mampu menjalankan tanggungjawab tanpa menjejaskan aksinya dalam kelas perdana.
“Saya tidak mempunyai banyak masalah sebagai pelumba kerana mempunyai ahli pasukan yang berpengalaman. Mereka mampu menyediakan jentera yang kompetitif san ia terbukti pada pusingan lepas apabila saya dapat menamatkan perlumbaan di tempat keempat.
“Selain itu, rakan sepasukan, Rozaiman Said dan Sharifuddin Shamsuddin juga sudah lama terbabit dengan Cub Prix, jadi pengalaman mereka turut membantu pasukan untuk mempersiapkan jentera terbaik untuk kami, cuma nasib Rozaiman tidak begitu baik kerana mengalami sedikit masalah teknikal dan belum berada pada tahap terbaik, ” jelas Fitri.
Menjelaskan tentang tanggungjawab sebagai pengurus pasukan, Fitri berkata, “Saya sukakan tugas ini kerana dapat menyumbang tenaga untuk membimbing pelumba-pelumba muda. Kalau diperhatikan dalam barisan pasukan di Cub Prix, saya merupakan antara pengurus termuda yang ada dan tidak ramai pelumba yang menjadi pengurus ketika mereka masih berlumba.
“Saya jadikan tugas ini sebagai satu cabaran besar dan sebagai persediaan untuk masa akan datang,” jelas pelumba berusia 25 tahun itu.
No Comment