Honda Civic Type OveRland Tarik Perhatian Ramai
Acara 2019 SMMT Test Day yang diadakan di Millbrook Proving Ground di Bedfordshire, England menyaksikan kemunculan dua versi Honda Civic Type R, masing-masing dengan karakter tersendiri.
Dikenali sebagai Civic Type OveRland, jentera yang dihasilkan oleh Ralph Hosier Engineering ini mengambil inspirasi jentera-jentera off-road dari perlumbaan rali Rally Raid, Overland dan Safari, menjadikannya Civic Type R yang paling unik setakat ini.
Dari segi visual, OveRland tampil berbeza dengan kit badan lebar seperti jentera rali sebenar, skup bumbung dan liang tambahan pada bonet. Spoiler hadapan dan skirt sisi ditanggalkan manakala ruang but belakang diubahsuai bagi menempatkan dua biji tayar ganti.
Topang dwi-paksi pada bahagian hadapan dikekalkan namun pada bahagian belakang terdapat cagak ‘trailing arm’ dan transverse link yang telah diubahsuai. Digabungkan dengan rim rali ringan dan tayar BF Goodrich bersaiz 255/55/18, OveRland adalah empat inci lebih tinggi berbanding Civic Type R standard.
Enjin VTEC Turbo 2.0-liter empat silinder tidak disentuh, bermakna ia masih menghamburkan 320 PS dan 400 Nm. Menurut Ralph Hosier Engineering, projek ini dijangka akan siap sepenuhnya dalam masa sebulan lagi.
Berlainan dengan OveRland, Civic Type R kedua yang muncul di acara tersebut memfokuskan prestasi di atas jalan raya. Dibangunkan oleh Team Dynamics Motorsport, ia mempunyai 400 hp dan 500 Nm hasil dari pelbagai modifikasi yang melibatkan ECU, sistem induksi, intercooler dan sistem ekzos.
Bagi memastikan ia boleh menangani peningkatan kuasa yang signifikan itu, syarikat talaan itu turut menggunakan hos brek Goodridge, pegas gegelung Eibach Pro, anti-roll bar boleh laras dan lengan camber belakang. Tayar Dunlop DZ03G dan rim Pro-Race bersaiz 19 inci pula memastikan ia sentiasa mendapat cengkaman secukupnya.
No Comment