Honda Malaysia Serah Civic ke-130,000
Honda Malaysia mencatat peristiwa bersejarah hari ini apabila menyerahkan Honda Civic ke-130,000 kepada pemiliknya.
Unit tersebut yang merupakan varian 1.5 Turbocharged Premium berwarna Dark Ruby Red telah diserahkan kepada pemiliknya, Fatihah Binti Abdul Kadir di salah satu cawangan pengedar Honda iaitu Botanic Auto Mall Sdn Bhd.
“Saya memang seorang peminat Honda. Sebelum membeli Civic ini, saya pernah memiliki sebuah Honda Stream sebelum ini. Saya kagum dengan ciri-ciri premium dan inovatif Civic yang menambah keseronokan dalam pemanduan harian saya,” kata Fatihah.
Menurut Honda Malaysia, pencapaian mengagumkan ini mengambil kira jualan Civic sejak model generasi ketujuh diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2001.
Civic merupakan salah satu model Honda paling popular di negara ini, dengan generasi ketujuh mencatat jualan melebihi 9,300 unit, diikuti dengan generasi kelapan dengan 50,400 unit dan generasi kesembilan dengan 27,000 unit.
Model generasi ke-10 yang diperkenalkan pada 2016 yang juga merupakan model pertama menampilkan enjin turbo, kini sudah terjual melebihi 42,200 unit.
No Comment