McLaren GT Utamakan Keselesaan
McLaren telah memperkenalkan model Grand Tourer pertama mereka yang dikenali sebagai GT. Selain prestasi, fokus utama model terbaru ini adalah tahap keselesaan dan praktikaliti yang lebih tinggi berbanding model Sport, Super dan Ultimate Series mereka.
Menggunakan rangka monocoque MonoCell II-T (T untuk Touring), model ini mempunyai struktur gentian karbon pada bahagian belakang yang membolehkan sebuah ruang bagasi berkapasiti 420 liter dicipta. Ia dilindungi oleh tailgate kaca yang mempunyai ciri ‘soft close’ namun pelanggan juga boleh mendapatkan versi elektrik.
Menurut McLaren, kedudukan enjin dan sistem ekzos yang lebih rendah membolehkan pemandu memasukkan dua beg golf atau sepasang ski bersaiz 185 cm ke dalam ruang but tersebut. Bukan itu sahaja, kehadiran ruang storan berkapasiti 150 liter pada bahagian hadapan bermakna GT mempunyai ruang penyimpanan berjumlah 570 liter secara keseluruhan.
Bahagian dalaman GT direka untuk perjalanan dan buktinya adalah tempat duduk dengan ciri pelarasan elektrik dan pemanas. Ia juga direka untuk memberi sokongan badan terutamanya pada bahagian belakang dan bahu. Selain itu, terdapat juga pencahayaan ambien dan bumbung kaca electrochromic yang menggantikan bumbung gentian karbon komposit asal.
GT dikatakan mempunyai sistem infotainment paling sofistikated bagi McLaren setakat ini, dipadankan dengan sistem audio Bowers & Wilkins yang mempunyai 12 pembesar suara, subwoofer gentian karbon dan unit mid-range Kevlar.
Upholsteri kulit Nappa yang didatangkan secara standard boleh ditukar dengan kulit softgrain mewah atau Alcantara. Malah, pelanggan juga boleh memilih untuk mendapatkan upholsteri Cashmere bermula penghujung tahun ini. Ruang but belakang boleh diperkemaskan dengan upholsteri SuperFabric yang dikatakan tahan kotoran dan mudah dicuci.
Bagi mengurangkan bunyi dari casis, McLaren menggunakan cagak enjin khas yang lebih lembut jika dibandingkan dengan cagak enjin 600LT. Bercakap tentang enjin, GT dikuasakan oleh unit twin-turbo 4.0-liter V8 yang menghamburkan 620 hp dan 630 Nm. Dengan transmisi automatik tujuh kelajuan, ia hanya memerlukan 3.2 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j.
Tempahan untuk GT telah pun dibuka dengan harga bermula dari £163,000 (RM870,941) bagi pasaran United Kingdom.
No Comment