Subaru Levorg Kini Dengan 2 Model Edisi Istimewa
Subaru dikatakan sedang dalam proses membangunkan Levorg generasi seterusnya, namun ini tidak bermakna model sedia ada dilupakan sepenuhnya.
Model yang dilancarkan pada 2014 itu kini menerima facelift kitaran pertengahan bagi pasaran Jepun, di mana ia juga mendapat dua varian edisi istimewa iaitu STI Sport Black Selection dan Advantage Line.
Bagi STI Sport Black Selection, ia didatangkan dengan cermin sisi berwarna hitam, dan rim 18 inci berwarna hitam dengan tayar bersaiz 225/45 bagi mendapatkan imej lebih sporty. Turut disertakan adalah puddle light.
Bahagian dalaman pula menampilkan tempat duduk Recaro yang dihiasi dengan kemasan Ultrasuede dan kulit, serta jahitan merah pada panel pintu dan konsol tengah sebagai penyudah.
Sementara itu, varian Advantage Line pula mendapat rim 18 inci berlainan reka bentuk, manakala cermin sisi, pemegang pintu dan lencana ‘Levorg’ dan ‘AWD’ diwarnakan hitam.
Ia turut tampil dengan kemasan Ultrasuede/kulit namun tidak seperti Black Selection, kemasan biru digunakan untuk menghiasi tempat duduk dan papan pemuka.
STI Sport Black Selection boleh didapati dengan enjin turbo 1.6-liter dengan 170 hp atau 2.0-liter dengan 296 hp, manakala Advantage Line hanya ditawarkan dengan enjin 1.6 sahaja. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi CVT Lineartronic dan sistem pacuan semua roda Symmetrical All-Wheel Drive.
No Comment