Suzuki Swift Sport Katana Diinspirasikan Oleh Motosikal Lagenda
Suzuki adalah antara beberapa pengeluar yang menghasilkan kereta dan motosikal, dan Suzuki Swift Sport Katana ini menggabungkan elemen-elemen daripada dua model popular jenama itu.
Terhad kepada 30 unit dan untuk pasaran negara Belanda sahaja, Swift Sport Katana adalah model edisi terhad yang dihasilkan bagi meraikan kepulangan motosikal Katana yang ikonik pada tahun lalu.
Dijual pada harga 28,999 Euro (RM134,772), ia boleh didapati dalam dua warna sahaja iaitu Premium Silver Metallic (15 unit) dan Super Black Pearl (15 unit). Membuatkan model ini lebih menonjol adalah perincian seperti jalur bonet, grafik pada bahagian pintu, logo Katana pada pintu hadapan serta nombor siri pada tiang C.
Selain itu, ia juga didatangkan dengan kemasan merah di sekeliling jeriji, kemasan berwarna kelabu ala gentian karbon pada bampar hadapan dan skirt sisi, cermin sisi berwarna hitam, serta rim OZ bersaiz 18 inci yang dipadankan dengan tayar Michelin Pilot Sport 4.
Ruang kabin Swift Sport Katana menampilkan stereng lebih tebal lengkap dengan logo Katana serta tempat duduk separa kulit dengan tulisan Katana bersulam. Selain di tempat duduk, logo dan tulisan Katana juga boleh didapati pada panel pintu dan karpet.
Penampilan unik model edisi terhad ini dipadankan dengan kelengkapan prestasi tambahan seperti sistem suspensi boleh laras, strut bar dan sistem ekzos keluli tahan karat. Seperti versi standard, Swift Sport Katana mempunyai 140 PS dan 230 Nm yang dibekalkan oleh enjin turbo 1.4-liter.
No Comment