VOTY 2019 Crossover Kompak Perodua Aruz
Ketibaan Perodua Aruz adalah satu berita yang sangat baik terutamanya buat pembeli yang mencari sebuah SUV yang menawarkan sehingga tujuh tempat duduk pada harga kurang dari RM80,000.
Apa yang menarik, dengan harga yang boleh dikatakan sangat berpatutuan ini, pembeli mendapat senarai kelengkapan yang cukup mengagumkan, antaranya adalah lampu LED automatik, rel bumbung, kemasukan tanpa kunci, stereng pelbagai fungsi, corong udara belakang, pembaca Touch N Go terbina, sistem infotainment dengan fungsi Android Smartlink dan pelbagai lagi.
Bukan itu sahaja, Perodua turut memberi perhatian terhadap aspek keselamatan dengan menyertakan ciri-ciri seperti enam beg udara dan yang paling penting, ASA 2.0 yang merangkumi ciri-ciri seperti Pre-Collision Warning, Pre-Collision Braking, Front Departure Alert dan Pedal Misoperation Control.
Enjin: empat silinder, Dual VVT-i
Kapasiti: 1,496 cc
Kuasa: 103 hp @ 6,000 rpm
Tork: 133 Nm @ 4,200 rpm
Transmisi: Automatik 4 kelajuan
0-100 km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM77,900 (varian 1.5AV)
Bagaimana pemenang Vehicle of the Year (VOTY) dipilih:
Proses kami mudah dan telus.
Semua kereta yang dilancarkan dalam tempoh 13 bulan dari 2019 adalah layak. Kami menghubungi semua syarikat kereta yang beroperasi di negara ini untuk meminta kenderaan untuk dipandu uji. Tiada yuran penyertaan dan syarikat tidak perlu membeli meja untuk majlis tersebut. Apa yang diperlukan adalah kereta baharu dan kebenaran untuk kami mengujinya.
Kira-kira sebulan sebelum acara berlangsung, keempat-empat juri dari dsf.my dan gohedgostan.com (Daniel Sherman Fernandez, Ross Hadi, Subhash Nair dan Amirul Mukminin) membincangkan pemenang bagi setiap kategori. Juri hanya boleh mengundi kereta yang telah diuji. Mana-mana model yang mendapat majoriti mudah akan memenangi kategori masing-masing.
Penaja utama kami iaitu Allianz mengiktiraf integriti pasukan kami dan semua pihak yang terlibat dalam menentukan pemenang. Kami berharap anda menghargai usaha setiap pihak yang terlibat dan memberi maklum balas bagaimana anugerah ini boleh dimantapkan pada masa akan datang.
No Comment