VOTY 2019 Hibrid Nissan X-Trail
Tahun lalu, kami membahagikan anugerah kereta hibrid kepada dua iaitu plug-in hibrid dan hibrid. Namun oleh kerana ketiadaan model plug-in hibrid baharu bagi anugerah tahun ini, kategori ini disatukan kembali. Dan pemenangnya adalah Nissan X-Trail.
Diperkenalkan baru-baru ini, apa yang menarik mengenai X-Trail hibrid adalah ia merupakan SUV saiz pertengahan pertama bagi pasaran Malaysia yang menampilkan pacuan hibrid, dan ia juga menandakan kali pertama Edaran Tan Chong Motors memasang model hibrid secara tempatan (CKD).
Selain itu, ia juga merupakan kali pertama X-Trail generasi ketiga menampilkan konfigurasi lima tempat duduk. Setelah memandu ujinya beberapa hari lalu, kami mendapati ia model yang praktikal dengan senarai kelengkapan yang cukup bagi golongan sasar.
Enjin: Empat silinder sebaris, DOHC, Twin CVCC dengan motor elektrik
Kapasiti: 1,997 cc
Kuasa: 144 PS @ 6,000 rpm (+41 PS elektrik)
Tork: 200 Nm @ 4,400 rpm (+160 Nm elektrik)
Transmisi: CVT dengan mod 7 kelajuan
0-100 km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM159,888
Bagaimana pemenang Vehicle of the Year (VOTY) dipilih:
Proses kami mudah dan telus.
Semua kereta yang dilancarkan dalam tempoh 13 bulan dari 2019 adalah layak. Kami menghubungi semua syarikat kereta yang beroperasi di negara ini untuk meminta kenderaan untuk dipandu uji. Tiada yuran penyertaan dan syarikat tidak perlu membeli meja untuk majlis tersebut. Apa yang diperlukan adalah kereta baharu dan kebenaran untuk kami mengujinya.
Kira-kira sebulan sebelum acara berlangsung, keempat-empat juri dari dsf.my dan gohedgostan.com (Daniel Sherman Fernandez, Ross Hadi, Subhash Nair dan Amirul Mukminin) membincangkan pemenang bagi setiap kategori. Juri hanya boleh mengundi kereta yang telah diuji. Mana-mana model yang mendapat majoriti mudah akan memenangi kategori masing-masing.
Penaja utama kami iaitu Allianz mengiktiraf integriti pasukan kami dan semua pihak yang terlibat dalam menentukan pemenang. Kami berharap anda menghargai usaha setiap pihak yang terlibat dan memberi maklum balas bagaimana anugerah ini boleh dimantapkan pada masa akan datang.
No Comment