Bentley Continental GT Convertible Number 1 Edition Terhad Kepada 100 Unit
Sebagai sebuah pengeluar dengan sejarah yang panjang, Bentley kadang kala menghasilkan model edisi terhad bagi meraikan kereta-kereta yang pernah dihasilkan satu masa dahulu.
Sebagai contoh, Continental GT Convertible Number 1 Edition ini dihasilkan sebagai penghormatan kepada jentera lumba No.1 Bentley Blower yang dikeluarkan pada tahun 1929. Dibangunkan oleh Mulliner, hanya 100 unit akan ditawarkan untuk pasaran global.
Number 1 Edition ditawarkan dalam warna Dragon Red II atau Beluga, dengan pilihan warna Claret atau Beluga untuk bumbung fabriknya. Ia didatangkan standard dengan Centenary Pack, Bentley Black Line Specification dan Carbon Body Kit.
Selain itu, ia juga dijadikan lebih menonjol menerusi grafik nombor 1 yang dicat pada jeriji hadapan, lencana dapra yang diperbuat daripada emas 18 karat dan rim bersaiz 22 inci yang boleh didapati dalam warna Gloss Black atau Cricket Ball Brown.
Tarikan utama di dalam kabin adalah ‘wheel spinner’ yang diperbuat daripada sebuah omboh yang diambil daripada No.1, yang terletak di tengah-tengah papan pemuka. Sementara itu, upholsteri ditawarkan dalam warna Cricket Ball atau Beluga, bersama dengan kemasan kayu Grand Black dan sentuhan emas 18 karat.
Di bawah hud, terdapat enjin twin-turbo 6.0-liter W12 yang menjana 626 hp dan 900 Nm. Transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda membolehkan jentera seberat lebih dua tan ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam kurang empat saat dengan kelajuan maksimum mencecah 333 km/j.
Harga bagi Continental GT Convertible Number 1 Edition tidak dinyatakan, namun ia sudah tentu lebih mahal berbanding versi biasa yang sememangnya sudah sedia mahal.
No Comment